Home Berita PAS Terengganu

COVID-19: tidur bangun atau tidur selamanya

201
SHARE

KUALA NERUS – “Bila dah sampai ‘stage’ empat, saya bergantung kepada bantuan oksigen dan bila tiba saat perlu ‘ditidurkan’, doktor ajar saya mengucap, pada masa itu hanya berserah, tidur bangun kembali atau tidur selamanya,” ujar Syahril Hirman Azmi, sebagai bekas pesakit COVID-19.

Syahril Hirman yang juga Pegawai Sains di Pusat Pengurusan Makmal Berpusat (CLMC) UniSZA telah bertarung nyawa di wad ICU HSNZ selama dua minggu setelah disahkan positif COVID-19 pada 17 Mei 2021 berkongsi cerita dan pengalaman ketika berada dalam situasi hidup atau mati selama 16 hari di hospital.

“Pada saya COVID-19 tu ‘real’, kena lawan sebab sakit tu memang betul-betul bila kena serang bila lebih daripada 50 peratus paru-paru saya telah dijangkiti COVID-19 pada tahap empat, dimasukkan ke wad ICU dan juga ditidurkan untuk proses rawatan.

“Sebelum ditidurkan, doktor telefon waris untuk maklum tentang keadaan saya dan saya dapat bercakap dengan mak. Syukur mak sebagai jururawat pencen, dia faham dan minta saya mengucap banyak-banyak, ingat Allah dan Rasul serta redha dengan ketentuanNya.

“Doktor yang merawat saya juga hebat dan sangat positif dengan memberikan kata-kata semangat , sentiasa berzikir dan selebihnya serahkan kepada pihak hospital untuk buat yang terbaik,” ujarnya lagi.

Katanya, dia ditidurkan selama satu hari setengah sahaja kerana badannya memberi tindak balas yang cepat dan positif.

“Saya kat ICU selama tiga hari dan bila perkembangan semakin positif barulah dipindahkan ke wad biasa.

“Setiap hari, selama 14 hari berturut-turut kena ambil darah setiap 5.30 pagi dan 11 pagi, ubat-ubatan untuk rawatan saya dan memang rasa sakit sepanjang tempoh berkenaan,” ujarnya.

Menurut Syahril Hirman, ketika diserang COVID-19 paru-parunya hampir separuh terjejas, hasil xray ia kabur dan doktor berkata dia sangat bertuah kerana kerana masih hidup kerana biasanya peluangnya hanya 50/50.

“Kesannya masih ada setelah keluar dari hospital, saya rasa cepat mengah, tidak boleh lakukan aktiviti jogging atau senaman yang lasak dan naik tangga pun terasa mengah.

“Doktor cakap proses penyembuhan paru-paru saya akan ambil masa lima hingga enam bulan dan saya perlu menjaga pemakanan serta kesihatan,” tambahnya lagi.

Beliau juga bersyukur bila diberikan peluang kedua untuk kembali bersama keluarga tersayang.

“Bila Allah bagi peluang kedua untuk hidup, rasa bersyukur dan berterima kasih kepadaNya dan doktor yang merawat.Ada hikmahnya bila saya boleh kongsi pengalaman ketika ditidurkan dan betapa sakitnya COVID-19 serta azab yang ditanggung.

“Masa di ICU. saya bangga dengan barisan hadapan. Mereka macam tidak penat dan layan semua pesakit kritikal tanpa mengeluh, sangat professional malah bagi saya mereka adalah hero yang jaga kita dan betapa mulianya mereka,” kata Syahril Hirman.

Justeru itu, dia menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dan jangan menganggap remeh pandemik COVID-19 dan SOP pencegahan kerana telah mengalaminya sendiri betapa bahayanya serangan COVID-19.