Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Hamzah Bin Abdul Muttalib

44992
SHARE

 

SAHABAT DI SISI RASULULLAH (SIRI 13)

HAMZAH BIN ABDUL MUTTALIB
 Singa Allah Penghulu Syuhada 

Sudah tentu ramai mengenali sosok tubuh ini. Beliau terkenal sebagai Asadullah bermakna singa Allah. Hal ini kerana kepahlawanan dan keberaniannya terhadap musuh, yang membuatkan umat Islam menumpang bangga dengannya. Beliau adalah antara pembesar Quraisy. Seorang yang gagah perkasa, berbadan sasa dan tidak takutkan sesiapa.

Walaupun Hamzah merupakan bapa saudara kepada Nabi SAW, umur mereka boleh dikatakan sebaya. Mereka membesar bersama dan menyusu dari ibu susuan yang sama. Nabi SAW amat kasih kepada teman sepermainannya itu sejak kecil lagi.

Walaubagaimanapun, Hamzah tidak menerima dakwah Nabi SAW daripada awal. Bukan kerana benci, tetapi tidak mahu mempedulikan hal-hal rumit sedemikian. Beliau lebih suka menghabiskan masa dengan minatnya memburu. Walaupun tahu apa yang berlaku, beliau langsung tidak mengendahkan seruan Nabi untuk beriman dan bersama Islam.

Sehinggalah pada suatu hari, ketika beliau pulang dari memburu, datang seorang lelaki mengadu tentang apa yang telah dilakukan oleh Abu Jahal terhadap anak saudaranya Muhammad SAW. Hamzah bertanya adakah ada lagi orang lain melakukan perkara sama? Jawab lelaki itu, ya, bahkan ramai.

Hamzah menjadi marah tiba-tiba. Beliau terus meluru ke Safa, tempat biasa Abu Jahal berkumpul bersama konco-konconya. Tanpa apa-apa mukaddimah, beliau terus menerpa ke arah Abu Jahal dan menghentak kepala Abu Jahal dengan busur yang ada di tangannya, menyebabkan kepala Abu Jahal koyak dan berdarah.

Hamzah kemudian melaungkan:
“Hari ini aku umumkan bahawa aku telah memeluk Islam! Kalau ada sesiapa berani membuat aku kembali berpaling dari Islam, cubalah!”

Namun tiada siapapun yang berani menyentuh Hamzah.

Dalam masa yang pantas, tersebarlah berita keislaman Hamzah ke seluruh kota Mekah. Ia menjadi tamparan hebat dan malapetaka besar buat orang musyrikin. Adapun bagi orang Islam, ia adalah satu rahmat yang cukup besar. Bagi mereka, tiadalah hari-hari yang lebih menggembirakan ketika di Mekah melainkan dua hari; hari Islamnya Umar al-Khattab dan hari Islamnya Hamzah bin Abdul Muttalib.

Kedua mereka juga begitu teruja selepas memeluk Islam. Pernah mereka menyuarakan hasrat kepada Rasulullah SAW untuk keluar ke hadapan Kaabah secara terang-terangan bersama Rasulullah, dan solat di hadapan Baitullah disaksikan oleh semua penduduk Mekah.

Nabi SAW bersetuju lalu keluarlah mereka bertiga ke Baitullah. Baginda berjalan penuh haibah bersama dua orang pengawalnya. Seorang di hadapan baginda dan seorang di belakang.

Sampai di hadapan Kaabah, mereka menunaikan solat Zohor dengan tenang tanpa diganggu sesiapa. Setelah selesai mereka berjalan pulang ke rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Mata para musyrikin memerhatikan setiap tindak-tanduk mereka, dengan hati yang panas membara dan penuh dendam, tetapi tidak berani berbuat apa-apa.

Tidak lama selepas itu, Allah memerintahkan umat Islam berhijrah ke Madinah. Kesemua orang Islam berhijrah dalam keadaan sembunyi dan berkumpulan, kerana bimbang ancaman musyrikin. Tetapi ada tiga orang sengaja berhijrah secara terangan, bagai mencabar keberanian musyrikin. Mereka adalah Umar, Hamzah dan Zubair bin Awwam. Sekali lagi musyrikin hanya berani melihat tanpa bertindak apa-apa.

Ketika perang Badar, Hamzah antara pahlawan terulung yang sangat digeruni musyrikin Quraisy. Beliau sengaja meletakkan tanda merah di dadanya, supaya dikenali oleh semua musuh. Ramai cuba membunuhnya, tetapi semuanya menemui ajal di hujung mata pedang Hamzah.

Dalam Perang Uhud, kepahlawanan Hamzah juga mengujakan. Ketika umat Islam dalam keadaan kelam kabut setelah diserang hendap dari belakang, Hamzah bersuara lantang:
“Aku singa Allah dan singa Rasulullah. Aku berlepas diri apa yang dilakukan oleh musyrikin. Dan aku memohon ampun dari apa yang dilakukan oleh orang Islam (berpecah dari Nabi.)”

Beliau kemudian meluru ke arah musuh, menghayunkan pedang kiri dan kanan, terus maju tanpa mundur, dan akhirnya rebah menemui syahid diserang hendap oleh seorang bernama Wahsyi.

Kali ini giliran musyrikin bergembira dengan kematian orang yang paling mereka benci. Jasad para syuhada dipotong-potong, dibelah perut dan diperlakukan dengan begitu dahsyat, terutama jasad Hamzah bin Abdul Muttalib. Hindun membelah dada Hamzah dan meratah hatinya, tetapi tidak mampu ditelan.

Umat Islam terutama Rasulullah SAW pula tersangatlah sedih. Sehingga baginda SAW bersumpah akan melakukan perkara sama terhadap 70 orang musyrikin di masa akan datang. Walaubagaimanapun pantas turun wahyu Allah berfirman:

Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.
[al-Nahl:126]

Rasulullah menarik balik sumpahnya dengan kaffarah. Kemudian baginda memerintahkan jasad-jasad umat Islam dikumpul dan dikebumikan sekaligus. Yang paling banyak menghafal al-Quran diletakkan paling hadapan. Selesai mengebumikan semuanya, baginda bersabda:

“Aku menjadi saksi kepada semua mereka, bahawa tidak ada satu luka pun yang terjadi di jalan Allah, melainkan luka itu akan terus berdarah di hari mereka dibangkitkan. Warnanya masih warna darah, tetapi baunya berbau kasturi.”

Perjuangan Islam memerlukan watak anggotanya yang pelbagai supaya melengkapi antara satu sama lain. Perlu ada orang yang mewarisi kepahlawanan dan keberanian singa Allah seperti Hamzah di setiap zaman. Orang seperti beliau menjadi pembakar semangat untuk umat Islam turut merasa izzah dalam apa jua keadaan, tidak takutkan sesiapa kecuali Allah.

13 Ramadhan 1438
8 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}