Home Berita PAS Terengganu

Hargai ‘Frontliners’, patuhi SJR

105
SHARE

Oleh : Pok Abbas @trdi.my

KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Orang ramai diingatkan supaya menghargai pengorbanan ‘frontliners’ dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilaksanakan di tempat-tempat masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata semua mereka itu adalah untuk menjaga masyarakat daripada penularan virus Covid-19.

“Mereka bersengkang mata tidak kira siang dan malam menjalankan tugas sama ada di SJR atau di hospital.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada ‘frontliners’ keselamatan seperti polis, askar dan rela dengan SJRnya dan juga ‘frontliners’ kesihatan yang sibuk merawat pesakit, dengan Vaksinasi dan juga ‘swab test yang dilakukan dengan cara yang teratur,” ujarnya ketika ditemui oleh wakil Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) yang terpaksa dilaksanakan di Mukim Besar, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ladang itu berharap penduduk di mukim tersebut bersabar kerana ianya adalah untuk kebaikan bersama.

“Saya telah meninjau aktiviti ‘swab test’ di Pusat Saringan Covid-19 di Masjid Bukit Besar, Alhamdulillah saya berbangga sebenarnya dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh masyarakat di DUN Ladang ini.

‘Mereka patuh dengan SOP dan datang untuk melakukan’ swab’ apabila dipanggil ke pusat saringan yang disediakan dalam DUN Ladang,” jelasnya.

Katanya, terdapat tiga pusat seumpama itu di DUN Ladang iaitu di Gong Penaga, Lorong Kemunting dan Bukit Besar.

“Terima kasih kepada penduduk DUN Ladang dan ‘frontliners’ yang saling bekerjasama untuk membendung penularan virus Covid-19, insya-Allah dalam masa terdekat ini kita sama-sama panjatkan doa kepada Allah SWT agar penularan Covid-19 terus terhenti,” ujarnya lagi.