Home Berita PAS Perak

Pertembungan dalam Umno: SD menyokong Anwar Ibrahim, jangan tanya PAS – PJ Perak

317
SHARE

BAGAN SERAI: Soal dalaman parti lain tidak patut di tanyakan kepada PAS. Demikian reaksi Pesuruhjaya PAS Perak YB Tuan Haji Razman Zakaria ketika menjawab soalan wartawan berkenaan dakwaan, terdapat pertembungan beberapa kem dalam UMNO berkait isu akuan bersumpah menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana menteri.

Bukan sahaja tidak mencampuri urusan dalaman parti lain malahan PAS turut kekal dengan fokus menyatukan ummah khususnya di kalangan orang Melayu dan juga menghadapi permasalahan utama negara iaitu menangani wabak covid-19.

“Itu urusan parti lainlah. Urusan parti lain tu dia buatlah. Yang tu kita tak campur. Kita tak tahu berapa orang nak sokong berapa orang dok ada, itu urusan parti dialah.

“Cuma satu saja matlamat yang PAS bawa supaya kita dapat menyatukan orang-orang Melayu kita ni, dan menangani covid 19 ni, kemudian barulah kita sama-sama memperbaiki kalau ada kerosakan. (Jika) ada kepandaian kita sama-sama perbaiki kerosakan yang ada.

“Jangan kita kata orang ni naik kita kata tak betul, orang ni tak betul. Sampai bila nak sudah keputusan politik. Tapi ada isu yang paling utama kita kena menangani covid 19 ni. Kerajaan dah bersungguh-sungguh. Ini merupakan tanggungjawab bersama”, ujarnya yang juga exco kerajaan negeri memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak.

Beliau juga turut menafikan dakwaan sebuah portal berita yang menyatakan PAS Perak membantah aktiviti kebajikan yang dijalankan oleh senator dari parti BERSATU di Bagan Serai baru-baru ini.

Menurutnya adalah tidak munasabah untuk menghalang perkara tersebut malahan pihaknya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menjalankan aktiviti kebajikan lebih-lebih lagi ketika waktu mendesak seperti sekarang.

“Itu kita tak ada halangan, sebab sekarang ni siapa juga nak bagi bantuan bukan sahaja ahli politik, jabatan kerajaan, NGO datanglah ke mana-mana nak bagi bantuan, masih banyak di bawah ini yang memerlukan bantuan. Kita tak ada membantah siapa-siapa.

“Soal politik lain, soal nak bagi bantuan lain. Kena ada perbezaan. Kalau PM nak turun sini lagi kita alu-alukan. Timbalan PM ke, menteri-menteri ke nak turun nyiru kita tadahkan”, tambah Razman lanjut.

Terdahulu beliau dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyampaikan sumbangan ikan segar beku, nanas dan pisang kepada kepada penduduk sekitar Kampung Padang Lalang, Tebuk Panchor, Air Hitam dan mereka yang melalui Jambatan Bena tali air besar merentasi sungai Kurau pagi tadi.

Lebih 400 bungkusan ikan segar beku dan pisang beserta nenas sepenuh muatan pacuan 4 roda Hilux berjaya diedarkan bersama pengarah LKIM, Mohamad Rizal Sahari dibantu JPKK dari kampung terlibat. Turut hadir TYDP ustaz Ahmad Sayuti.