Home Berita PAS Selangor

Pertahan kerajaan PN : bukan hebat, tetapi tak semudarat dulu – Setiausaha DUPN Selangor

141
SHARE

May be an image of 1 person and text that says "PERKUKUH MN PERTAHAN PN PERTAHAN KERAJAAN PN: BUKAN KERANA KERAJAAN HEBAT TETAPI IA TIDAK SEMUDARAT KERAJAAN DAHULU Oleh: Ustaz Muhammad Najhan Halim"

Pertahan Kerajaan PN : Bukan Kerana Kerajaan Hebat, Tetapi Tidak Semudarat Kerajaan Dahulu – “Bingkisan Rida Di Bahu” | Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

Oleh : Ustaz Muhammad Najhan Halim

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

Firman Allah swt dalam surah At-Tawbah 42,

لَوۡ كَانَ عَرَضࣰا قَرِیبࣰا وَسَفَرࣰا قَاصِدࣰا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَـٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَیۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَیَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ یُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ یَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَـٰذِبُونَ

Maksudnya, “.. Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)..”.

PAS tetap bersama mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional bukan kerana PAS gilakan kuasa. Usah dilihat PAS terlalu inginkan kuasa hanya kerana istiqamah mempertahankan kerajaan PN.

Sejarah perjuangan PAS bukan baru bermula sejak reformasi tahun 90-an, bukannya pula ketika adanya pakatan, bukan juga ketika adanya langkah itu dan langkah ini.

PAS sudah berjuang sejak sebelum merdeka dan lebih berumur dan lebih tua daripada sebahagian besar mana-mana pihak yang sedang menghina PAS.

Kalau sekadar inginkan kuasa, PAS sudah lama bersama BN sebelum PRU 14 mempertahankan kerajaan BN daripada tumbang atau berpakat bersama PH ketika memenangi PRU 14 dahulu.

PAS pernah menjadi pembangkang puluhan tahun, pernah berada bersama Kerajaan Persekutuan tahun 70an, kembali menjadi pembangkang, menjadi satu-satunya kerajaan negeri pembangkang yang disisihkan, pernah bersama memerintah negeri dengan parti pembangkang dan kini berada dalam kerajaan yang menyelamatkan suasana getir negara ketika kerajaan PH hilang kuasa dengan sendiri.

Mereka yang baru singkat dalam perjuangan dan hanya inginkan kuasa itulah sebenarnya tidak mengenal perjuangan ini.

Biarpun sebahagian mereka tidak memahami hati budi PAS, PAS tetap menyatakan kerajaan PN perlu dipertahankan untuk kepentingan negara dan rakyat.

Walaupun ditohmah bahawa PAS gilakan kuasa, pada sebahagian mereka yang hanya melihat sejarah perjuangan ini baru bermula sedangkan ia telah berlangsung sejak sekian lama berada di persada politik tanahair iaitu sejak sebelum merdeka.

Kekurangan dan kelemahan sedikit di sana sini pada Kerajaan PN bukan kerana disebabkan salahguna kuasa serta korupsi, bukan pula kerana sikap terpendam ingin melanggari prinsip perlembagaan.

Ia adalah kerana kekurangan kelemahan manusia yang tidak terlepas salah dan silap. Dalam kekurangan itu, Kerajaan PN terus kekal mempertahankan sistem negara yang yang harmoni ini agar terus diperkukuh dan pembinaan negara terus dipacu.

Walaupun negara kini berdepan keadaan darurat kesihatan disebabkan pandemik COVID yang luarbiasa, kerajaan tetap prihatin kepada rakyat. Kesanggupan kerajaan membelanjakan berbilion ringgit tanpa berkira dan kedekut. Walaupun kesan impak kepada ekonomi negara pada tahap yang membimbangkan.

Ia adalah kerana negara hanya di tangan kepimpinan majoriti Melayu Islam itu lebih harmoni dan sejahtera berbanding selainnya.

Sebab itu mengekalkan Kerajaan PN adalah satu keperluan dan bukannya lagi pilihan.

Rakyat tidak lagi boleh diperjudikan dan dieksperimen dengan kononnya melalui kepimpinan baharu yang sedang bernafsu untuk mengambilalih negara akan menjadi lebih baik daripada sekarang.

Apabila muka yang sama juga iaitu muka yang ingin menghapuskan hak istimewa orang Melayu Bumiputera, bercita-cita menghapuskan sistem Raja, melenyapkan Islam, menarik bantuan orang miskin, menghina orang Melayu, ekstrem Chauvanis, ingin mengubah perlembagaan mengikut agenda barat dan lain-lainnya bakal diisi kepimpinan baharu ini.

Lihatlah dengan mata hati, bukan membuta hati. Usah mudah keliru hanya disebabkan media sosial yang tidak bersempadan akhlak dan perintah tuhan. Amarah kesusahan disebabkan COVID tidak boleh dijadikan alasan untuk kita mengatakan sesiapapun sama sahaja yang memimpin negara ini.

Ingatlah bahawa kebijaksanaan akal yang waras adalah merupakan benteng dan nilai hidup yang penting dan bukan menjadi hamba nafsu syahwat.

PAS mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional bukannya kerana kerajaan ini hebat tetapi kerajaan yang banyak kekurangan ini TIDAK SEMUDARAT berbanding kerajaan 22 bulan dahulu.

Lajnah Penerangan & Media Baru

Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor