Home Berita PAS Terengganu

Agihan bantuan BERKAT 3.0 : Jangan buat spekulasi, fahami isu sebenar

213
SHARE

Oleh : Azhar Yusof

HULU TERENGGANU, 16 Jun – Dakwaan agihan bantuan di Ajil hanya tertumpu kepada golongan berada disifatkan sebagai satu spekulasi dan provokasi politik melampau daripada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim menegaskan, bantuan di negeri ini termasuk di tempatnya terbahagi kepada dua kategori iaitu sumbangan kuarantin dan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0.

Katanya, apa yang diviralkan di media sosial itu bukan BERKAT 3.0 sebaliknya ia adalah bantuan kepada golongan dihad pergerakan kerana perlu menjalani perintah kuarantin.

“Bantuan itu untuk mereka yang menjalani kuarantin di rumah kerana kesukaran mereka untuk keluar mencari bekalan makanan, bantuan ini tidak kira golongan berada atau tidak.

“Tambahan pula bantuan ini juga datang daripada sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap golongan yang dikuarantin. Tidak timbul soal pilih kasih bantuan seperti yang heboh diperkatakan di media sosial baru-baru ini,” ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Susulan itu, Maliaman merayu agar orang ramai tidak merumitkan lagi keadaan dalam tempoh yang sukar ini kerana dibimbangi akan merencatkan usaha kerajaan membantu golongan terjejas.

“Tolonglah, jangan menjadikan keadaan lebih parah. Kalau ada isu, ada penduduk di DUN Ajil dikatakan layak menerima bantuan, tolong maklumkan secepat mungkin siapa orang itu,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, satu tuduhan dimuat naik di Facebook melaporkan BERKAT 3.0 yang disalurkan hanya tertumpu kepada golongan berada semata-mata.

Dakwaan itu menyatakan, ada beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan beberapa ADUN di Terengganu atas dakwaan itu.