Oleh : Wan Hadi
KEMAMAN – Program ‘Outreach’ pendaftaran pengambilan vaksin Covid-19 telah digerakkan di daerah Kemaman bagi memudahkan urusan penerimaan vaksin.
Penyelia program, Khairuddin Ahmad memberitahu, seramai 20 orang sukarelawan terlibat dalam program tersebut di bawah kelolaan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Kemaman.
“Program di bawah kelolaaan PKM Ahli Parlimen Kemaman dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, UPDI Kemaman, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kemaman dan Pejabat Penerangan Daerah Kemaman serta Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat.
“Seramai 20 orang petugas sukarelawan terlibat di dalam program ini yang dipilih dan telah menerima suntikan vaksin untuk keselamatan mereka,” katanya.
“Alhamdulillah, hari pertama program ini, kita telah berjaya mendaftarkan seramai 705 orang melibatkan dua JPKK iaitu Kampung Perasing Jaya dan Taman Perasing Jaya,” ujarnya ketika ditemui semalam di Taman Perasing Jaya.
“Penduduk bersyukur dengan adanya program ‘Outreach’ seumpama ini dapat memudahkan pendaftaran mereka dan memberikan lebih jaminan kepada mereka untuk menerima vaksin.
“Sambutan penduduk sekitar amat menggalakkan dan saya amat berharap agar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) setempat dapat diwujudkan bagi memberikan kemudahan kepada mereka yang berada jauh dari PPV utama,” tambahnya.