Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Oleh : Ustaz Hanafi Zulkapli
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
Tawar Khidmat Guaman, Kecam Tindakan Provokasi
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mengambil pendirian untuk menawarkan khidmat guaman percuma kepada penghantar makanan Foodpanda yang bertindak di luar kawasan ekoran provokasi penghinaan agama Islam oleh seorang lelaki Kristian yang mendakwa ia anak Allah.
2. Insiden yang tular tersebut menunjukkan secara jelas provokasi penghinaan lelaki Kristian tersebut tanpa menghormati sensitiviti penganut agama Islam apabila mencemari kalimah suci Allah. Pertikaian tersebut akhirnya membawa kepada pergaduhan dengan aksi tumbuk menumbuk yang kemudiannya dileraikan oleh orang ramai yang berada di tempat insiden.
3. DPPNS mengecam sikap provokasi kerana jelas ia tidak menghormati sensitiviti penganut Islam yang akhirnya membawa kepada pergaduhan kerana provokasi tersebut telah merosakkan keharmonian yang sewajarnya dipelihara dalam kehidupan masyarakat majmuk yang berbilang agama di Malaysia.
4. Selangor merupakan salah satu antara 10 negeri yang mempunyai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di kalangan Orang Islam) memperuntukkan dalam Jadual (Seksyen 9) perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama bukan Islam, antara lain, kalimah Allah, Baitullah, Kaabah, firman Allah, hadis, Illahi, wahyu, ibadah dan perkataan lain yang tersenarai dalam Bahagian I jadual terbabit.
5. Pujian diberikan ke atas semangat penghantar makanan Foodpanda tersebut namun kita tetap mengharapkan setiap tindakan mestilah mengikut lunas-lunas perundangan agar semua rakyat menghormati keluhuran Perlembagaan di negara ini dalam menjamin keadilan, keamanan dan kesejahteraan semua pihak.
6. DPPNS dengan kerjasama Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Malaysia (LUHAM) tampil menawarkan khidmat guaman kepada mereka yang akan dituduh dalam kes ini bagi menyatakan kebersamaan dalam semangat mempertahankan kesucian agama dari sebarang provokasi yang sengaja ditimbulkan.
7. Pihak berkuasa juga digesa untuk membuka kertas siasatan ke atas individu beragama Kristian tersebut yang tular melalui video yang mengeluarkan kata-kata provokasi agama dan tidak menghormati ajaran Islam agar dikenakan hukuman yang setimpal kerana telah menjadi penyebab kepada tercetusnya ketegangan dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.
Memimpin Negara
Pemuda Bangkit Demi Islam
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor