Oleh : Aslam Wira
MARANG – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tetap meneruskan agihan bantuan kepada rakyat seperti biasa meskipun dilempar fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab kebelakangan ini.
Pegawai Khasnya, Sabri Zakaria berkata, Menteri Besar dilihat tenang dan gembira dapat bertemu rakyat seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Hari ini heboh berita pasal Menteri Besar. Goyah la, tergugat la dan macam-macam lagi cerita rekaan yang ada.
“Namun ia tidak menjejaskan Menteri Besar untuk terus membantu rakyat, pagi tadi saya ada bersama beliau dalam agihan bantuan COVID-19 di Kampung Kuala Tengah.
“Mengikut jadual, beliau ada mesyuarat hari ini, tetapi tetap ‘mencuri’ masa untuk turun menyampaikan bantuan pada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang,” katanya ketika dihubungi UPDI hari ini.
Mengulas tentang laporan polis yang dibuat terhadap pengfitnah, Sabri berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak.
“Kita fokus buat kerja bantu rakyat lagi baik daripada melayan benda-benda rekaan seperti itu,” jelasnya.
Tambah Sabri, selepas selesai mengagih bantuan, Menteri Besar terus meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Marang.
“Sebelum hadir mesyuarat Menteri Besar hadir ke PPV Marang untuk melihat sendiri proses vaksinisasi yang berlangsung dan menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas frontliner,” katanya.