Home Berita PAS Selangor

Asal dapat kuasa musuh jadi kawan – Setiausaha PAS Negeri Selangor

161
SHARE

May be an image of 2 people and text

Nadi Selangor By Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha PAS Negeri Selangor

Dalam keghairahan mendapatkan kuasa sesetengah pihak sanggup melakukan apa sahaja, matlamat menghalalkan cara, menggadai prinsip, menjilat ludah asal apa yang dicita dan diidam-idamkan dapat ke tangannya kembali. Mengikut laporan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyeru ahli-ahli partinya agar berminda terbuka dan bersedia bekerjasama walau dengan ‘musuh’ jika benar mahu merampas Putrajaya.

Bermakna dengan kekuatan yang ada PKR dan PH tidak mampu merampas Putrajaya. Mereka perlukan bantuan dan bantuan ini datangnya dari pihak ‘musuh’ maka kerana itu PKR dan PH perlu berminda terbuka dan bersedia bekerjasama termasuklah dengan ‘musuh’ sekalipun sebagaimana disarankan Anwar.

Soalnya siapakah ‘musuh’ yang dimaksudkan? PAS memang musuh buat PKR dan PH. Sanggupkah PAS bekerjasama dengan PKR sedangkan kedua parti telah berpatah arang dan berkerat rotan. Jelas ‘musuh’ yang dimaksudkan bukan PAS.

Mungkinkah Umno? Ada khabar angin sebelum ini kononnya pimpinan tertinggi Umno ada berjumpa dan berbincang dengan Anwar. Mungkinkah Umno ‘musuh’ yang Anwar maksudkan?

Jangan lupa semasa PRU14 Anwar dan PH menyerang Umno dan BN habis-habisan. Kleptokrat, kaki rasuah dan macam-macam maki hamun dihamburkan sehingga rakyat terpengaruh dan akibatnya Umno kecundang dan hilang kuasa buat pertama kali dalam sejarah.

Umno sendiri mengambil sikap ‘No PkR, No Anwar No DAP’ mustahil keputusan sebesar ini mahu dilanggar semata-mata untuk beri nyawa pada Anwar untuk naik jadi Perdana Menteri.

Jadi siapakah ‘musuh’ yang dimaksudkan? Sebenarnya kenyataan ini lebih untuk memecahbelahkan hubungan PAS dan Umno. Anwar sedar kiranya kedua parti Melayu Islam ini bersatu impiannya untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan kesampaian. Mahukah PAS atau Umno menggadaikan maruah, mengkhianati kepercayaan ummah bersekongkol dengan Anwar hanya semata-mata untuk jadikan beliau Perdana Menteri?

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor