Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Sungai Buloh
Oleh : Umar Al-Hayawi
Sungai Buloh | PAS Kawasan Sungai Buloh menyedari penularan pandemik Covid-19 merupakan musuh paling utama negara saat ini. Ikhtiar perlu dilakukan semaksima mungkin. Masyarakat awam sudah dimaklumkan dengan program vaksinasi kebangsaan dan ketika ini sudah masuk ke fasa ke 2 iaitu untuk warga emas dan juga kepada individu-individu yang telah mendaftar untuk vaksin astrazeneca fasa pertama dan terbaru pada 26 Mei yang lalu untuk yang berumur 18 tahun – 60 tahun.
PAS Kawasan Sungai Buloh mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah mendaftar. “Marilah kita mendaftar untuk vaksinasi ini bagi mencegah mudarat yang lebih besar”. Pakar-pakar perubatan tempatan melalui KKM dan beberapa agensi-agensi kerajaan yang lainnya telahpun membuat penilaian yang ketat dan melihat laporan-laporan klinikal dan testimoni-tertimoni syarikat pengeluar sebelum diluluskan oleh mereka.
PAS Kawasan Sungai Buloh mengajak dan menyatakan bahawa, ini adalah ikhtiar kita waktu ini dan ianya pula telah disokong oleh ulama-ulama dalam negara mahupun luar negara. Justeru, marilah kita sama-sama mendaftar bagi yang belum mendaftar agar usaha untuk mencapai 80% rakyat Malaysia yang bervaksin tercapai. Adakah kita tidak rindu untuk kembali menjalani kehidupan seperti sediakala, pulang ke kampung dan ziarah menziarahi sanak saudara?
Maka marilah kita bantu kerajaan dan para frontliners negara dengan menyahut seruan mereka untuk mengambil vaksin. Pas Sungai Buloh juga merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Muslimat PAS Kawasan Sungai Buloh yang telah mendaftar vaksin dan seterusnya kepada para pimpinan PAS yang telah menjadi contoh tauladan mendahului pengambilan vaksin Covid-19.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor