Oleh : husaif Mamat
KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu menggunakan dron bagi memantau pergerakan individu bergejala atau yang mempunyai suhu tinggi tetapi berada di tempat awam sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dron yang dilengkapi teknologi tinggi itu mampu mengesan suhu badan dalam masyarakat pada jarak 20 meter dari udara.
“Dron ini akan menyalakan lampu merah sekiranya individu yang mempunyai suhu badan tinggi seperti 37.5 darjah Celsius dan ke atas dikesan, anggota penguatkuasa kita akan segera ke lapangan untuk mengenal pasti individu terbabit.
“Kita telah gunakan teknologi ini bermula sekitar tiga hari lepas,” katanya kepada pemberita selepas memantau sekatan jalan raya di Jambatan Sultan Mahmud di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rohimi berkata penggunaan dron sangat membantu pasukan pemantauan sedia ada yang melibatkan 157 pasukan.
“Hingga kini kita ada 157 pasukan pemantauan SOP (Prosedur Operasi Standard), mereka bergerak dari satu lokasi ke tempat lain seperti Pasar Besar Kedai Payang dan KTCC Mall.
“Mereka tidak dapat memantau semua tempat secara serentak termasuk mengesan individu bergejala yang berada di tempat awam, oleh kerana itu, dron ini sangat membantu kami
“Dron yang berpangkalan di Kuala Terengganu ini dipinjamkan oleh sebuah syarikat swasta di negeri itu untuk kegunaan pihak polis sepanjang penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh.