Oleh : ‘Afini Yahaya
KUALA TERENGGANU – Sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega akan dibuka di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, mulai 6 Jun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, tambahan PPV di universiti awam (UA) itu akan membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan dengan lebih cepat.
“Langkah kerajaan menjadikan sebahagian IPT (institusi pengajian tinggi) sebagai PPV adalah bagi membantu PICK dalam menyediakan akses lebih banyak kepada rakyat untuk divaksin,” katanya ketika bersiaran secara langsung di Tv Darul Iman, hari ini.
Menurutnya, sehingga 31 Mei lalu, rakyat di negeri berkenaan yang mendapat suntikan dos pertama adalah sebanyak 13.8 peratus ataupun seramai 41,770 orang.
Manakala yang mendapat suntikan lengkap dua dos hanya 4.9 peratus iaitu seramai 14,881 orang.
Beliau menyifatkan kadar tersebut masih rendah sambil menambah, kerajaan negeri melakukan pelbagai inisiatif untuk memastikan kesemua rakyat mendapat suntikan vaksinasi.
“Bagi mengatasi masalah suntikan yang rendah ini, kerajaan telah menambah pusat vaksinasi sedia ada. Setakat ini kapasiti bagi kesemua PPV yang ada di Terengganu adalah sebanyak 3,308 hingga 5,380 vaksin sehari.
“Dan kita juga akan buka suntikan pada hari Sabtu dan terbaru adalah dengan kerjasama bersama UniSZA. UniSZA akan buka PPV mega dan dijangka akan beroperasi bermula 6 Jun (Ahad) ini.
“Bagi suntikan mega di UniSZA kita anggarkan mampu memberi suntikan kepada 1,500 orang dalam masa sehari.
“Selain itu, mereka juga ingin membantu kakitangan hospital yang kekurangan tenaga kerja dengan menggerakkan ‘mobile team’ untuk pergi ke kampung-kampung pedalaman yang melibatkan 50 pakar klinikal bagi membntu masyarakat yang sukar hendak pergi ke pusat vaksinasi,” jelasnya.
Dalam pada itu, tambah Alias, beberapa klinik swasta, turut memberi kerjasama dalam membendung masalah tersebut.
“Pejabat Hal Ehwal Agama Terengganu dan badan bukan kerajaan (NGO) juga terlibat dalam usaha sama untuk kita buka juga pusat vaksin ini di masjid-masjid.
“Ini semua usaha-usaha kerajaan supaya mencapai target pada akhir tahun ini untuk memberi vaksinasi kepada 70 hingga 80 peratus rakyat negeri Terengganu, insya-Allah,” ujarnya.