Oleh: HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 2 Jun: Rakyat negeri Pahang diseru agar dapat mengenal pasti ahli keluarga, saudara mara, jiran atau kenalan yang belum mendaftar program vaksinasi Covid-19 supaya dapat diberi kesedaran pentingnya vaksinasi tersebut dalam menghadapi pandemik Covid-19 dari terus menular dalam masyarakat.
Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan (ADN) Beserah Andansura Rabu melalui laman media sosialnya semalam.
Menurutnya hanya 40 peratus sahaja warga Pahang yang berumur 18 tahun ke atas yang telah mendaftar program vakinasi Covid-19 sehingga 31 Mei 2021.
Beliau menambah seramai 60 peratus daripada 1.2 juta warga Pahang berumur 18 tahun ke atas belum mendaftar vakinasi Covid-19, mengikut laporan statistik yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid 19.
“Berilah dorongan dan semangat kepada mereka untuk mendaftar kerana ada di kalangan mereka yang takut dengan propaganda yang dibawa oleh golongan Anti Vaksin, dengan pelbagai isu yang tidak berasas.
“Bantulah mereka sekiranya mereka menghadapi masalah untuk mendaftar, terutama bagi mereka yang tidak mahir dalam penggunaan aplikasi di atas talian” katanya lagi.
Menurutnya lagi pembelian vaksin sedang giat dilakukan oleh kerajaan untuk mèmpercepatkan proses vaksinasi kepada penduduk termasuk merunding semula jadual penghantaran.
Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang menyeru kepada pimpinan masyarakat, kelab-kelab, persatuan-persatuan, pertubuhan-pertubuhan mahupun syarikat-syarikat perniagaan dan swasta agar dapat memainkan peranan dalam usaha membantu meningkatkan kesedaran dan menaikkan peratus jumlah pendaftaran vaksinasi ini supaya mencapai angka yang memuaskan.
“Saya seru kita jadikan Pahang negeri pertama mencapai rekod sasaran pendaftaran vaksinasi.
Pendaftaran boleh dibuat melalui:
1. Aplikasi MySejahtera
2. https://www.vaksincovid.gov.my/daftar/
3. https://vaksin.pahang.gov.my/frmSemak.php
Beliau seterusnya mengharapkan agar rakyat dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan berjuang untuk mencapai kemenangan dalam menghadapi pendemik ini.