Oleh : husaif Mamat
KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Terengganu akan mengecualikan bayaran sewa premis perniagaan milik kerajaan negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selama dua bulan susulan pelaksanaan ‘total lockdown’ dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengecualian bagi bulan Jun dan Julai itu dilakukan bagi mengurangkan bebanan peniaga yang terkesan dan terjejas pendapatan.
“Kerajaan negeri bersetuju pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan ini hanya diberikan kepada premis perniagaan yang terkesan akibat penutupan ekonomi.
“Pengecualian juga diberikan kepada premis dengan kadar sewa tidak melebihi kadar sewaan RM5,000 sebulan kecuali sewaan tapak menara telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan media sempena pelancaran Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kehilangan hasil susulan pengecualian bayaran sewaan premis adalah ditanggung oleh agensi masing-masing.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri memaklumkan pihaknya turut memberi moratorium selama 3 bulan untuk peminjam Yayasan Terengganu.
“Namun, kelonggaran ini hanya diberikan kepada mereka yang bergaji RM2,500 ke bawah, dan mereka juga diberi pilihan untuk memohon atau menangguhkan bayaran atau tidak,” tambahnya.