Home Berita PAS Terengganu

Panjangkan Pemantauan Terhadap Semua Operasi Judi

229
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS Malaysia berharap, arahan tegas penutupan serta-merta premis kasino Genting Highlands dipanjangkan pemantauannya terhadap operasi ke atas premis dan kegiatan seumpama di seluruh negara.

Ketuanya, Senator Ir Ts Haji Khairil Nizam Khirudin menghargai ketegasan kerajaan terhadap sektor tersebut, bahkan katanya, pengoperasiannya bukan sahaja salah di sisi agama Islam, malah tidak membawa sebarang manfaat.

“Dalam situasi pandemik COVID-19 dan ekonomi tidak menentu ketika ini juga, sektor perjudian dan premis kasino seperti ini juga langsung tidak membantu terhadap motivasi kerohanian dan tekanan mental serta keharmonian rakyat, apatah lagi terhadap poket peribadi dan keluarga, sebaliknya mengundang lebih banyak masalah.

“Kuasa kerajaan mesti digunakan untuk meningkatkan penguatkuasaan menangani kegiatan perjudian tanpa lesen. Malah, kerajaan perlu menghentikan juga cabutan loteri atau judi untuk tujuan kebajikan,” tegasnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Oleh itu, Pemuda PAS Malaysia juga ingin mengulangi kebimbangan yang telah dizahirkan sebelum ini berhubung langkah kerajaan, yang menambah kekerapan cabutan khas judi dari 8 kali setahun pada tahun 2020, kepada 22 kali setahun bermula 2021.

“Sekalipun kekerapan cabutan ini bertujuan untuk menambahkan pendapatan negara namun kami berpendapat ianya bukan jalan penyelesaian terbaik. Judi adalah haram di sisi Islam dan hanya akan menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat.

“Antara usaha ke depan yang lebih kukuh adalah mengadakan undang-undang lebih ketat di mana menjamin tiada keterlibatan sama sekali orang Islam dalam kegiatan dan operasi ini. Malah, ke atas orang bukan-Islam pun kebenaran hanya diberi dalam had keluarga atau majlis perayaan tertentu sahaja,” jelasnya.

Justeru itu, pihaknya melihat, kepercayaan awal Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang pernah mengungkap adalah lebih baik, operasi premis demikian tidak beroperasi.

“Usaha intensif merangka untuk menutup terus operasinya dari muka bumi Malaysia mesti diusahakan dari sekarang.

“Kami percaya, Malaysia akan jauh lebih baik tanpa semua operasi pub, kelab malam dan kasino, sekali gus akan menyelesaikan isu-isu berkaitan diakibatkan selama ini. Ia kini tidak lagi memerlukan perdebatan atau polemik atau salah menyalahkan dan menuding jadi, sebaliknya semua pihak mesti menyokongnya Bersama,” tambahnya.