Dari Tirai Dewan Muslimat PAS Selangor | Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor
Oleh : Umar Al-Hayawi
Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam, juga merupakan bumi al-Isra’ dan al-Mi’raj. Hati-hati umat islam di seluruh dunia sangat sedih dengan apa yang telah dan sedang diperlakukan terhadap masjid yang mulia ini. Status masjid al-Aqsa sangat jelas, sebagaimana sabda Rasulullah SAW
“Janganlah kamu bersusah payah bermusafir kecuali ke tiga buah masjid: Masjidil Haram dan Masjidku ini dan Masjid al Aqsa”
(Riwayat Muslim)
Kenapa kota Baitulmaqdis begitu penting kepada kaum Muslimin? Sesungguhnya ia adalah sebuah kota kepada ramai para nabi, dari Nabi Ibrahim AS, kemudiaanya Nabi Ismail, dan seterusnya sehinggalah Muhammad SAW.
Masjid al-Aqsa adalah salah satu dari masjid terawal yang dibina di muka bumi. Dari Abi Dzar al Ghifari, ”Saya pernah bertanya kepada Rasulullah. Wahai Rasulullah, masjid apa yang pertama diletak (dibangunkan) di bumi? Baginda bersabda: Masjidil Haram. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda bersabda: Masjid Aqsa. Saya bertanya. Berapa lama antara keduanya? Baginda bersabda Empat puluh tahun.”
Kini, kita kaum Muslimin tidak sekali-kali boleh mendirikan solat ke arah Masjid al-Aqsa sebagai kiblat. Namun, kita mesti menghormati dan menyayangi kota Baitulmaqdis dan masjid al-Aqsa yang penuh keberkatan itu.
Malah, adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menjaga masjid tersebut dari sebarang ancaman dan kerosakan seperti yang berlaku sekarang dimana seluruh saudara kita di Palestin yang mempertahankan Masjid Al-Aqsa kerana masjid ini adalah milik mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW dan semua pada Rasul yang telah diutuskan.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor