Minda Presiden PAS
FIQH POLITIK: PENGASINGAN KUASA DAN PENGAWASAN
Konsep pengasingan kuasa atau dalam bahasa Inggeris disebutkan dengan istilah ‘separation of powers’ merupakan satu doktrin pemerintahan secara demokrasi yang mengasingkan urusan hal ehwal negara kepada tiga badan utama iaitu pemerintah (executive), perundangan (legislative) dan kehakiman (judiciary).
Isu ini menjadi perbincangan yang hangat dalam media perdana dan media sosial, sehingga menimbulkan kecelaruan apabila mereka yang jahil mendedahkan sifat jahil murakkab (jahil yang amat sangat).
Islam telah mendahului Barat dalam menerapkan sistem ini sebagaimana yang dicatatkan oleh Sunnah Rasulullah SAW dan para Khulafa’ al-Rasyidin RA selepasnya. Ia dilaksanakan bagi menegakkan negara bermasyarakat majmuk dan madani yang sangat luas sempadan negaranya, walaupun pada zaman itu belum wujud kemudahan sepertimana pada hari ini.
Selain itu juga, perlu difahami bahawa ketiga-tiga badan itu disebutkan dengan الفصل بين السلطات (pemisahan kuasa), bukanlah bermakna ia putus berkerat rotan, sehingga langsung tidak boleh berlaku sebarang campur tangan.
Apabila pihak yang paling berkuasa berkewajipan melantik seseorang individu, maka mereka juga berhak untuk bertindak sekiranya terdapat salah laku. Bahkan kedua-dua pihak iaitu pihak pemerintah dan ketiga-tiga badan tersebut mestilah sentiasa berhubung antara satu sama lain seperti berbilang dan berbagai-bagai anggota dalam satu jasad, sehingga tidak putus laksana hubungan mata rantai yang kukuh.
Pada masa yang sama, setiap pihak bergerak mengikut peranan masing-masing, seperti kepala dan badan, kaki dan tangan, telinga dan mata dan lain-lain anggota.
Begitulah juga anggota dalam kerajaan, semua pihak berperanan mengukuhkan kerajaan dan negara yang satu dengan penyelarasan, bukannya dengan menimbulkan kecelaruan dan percanggahan antara satu sama lain dalam mengurus dan mentadbir.
Islam meletakkan peranan besar dalam politik secara menyeluruh adalah suatu perkara yang telah ditetapkan Allah SWT ketika menciptakan manusia. Berasaskan firman-Nya:
﴿وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ٣٠﴾
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): ‘Adakah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu, orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahui.’” (Surah al-Baqarah: 30)
Khilafah ialah politik pemerintahan negara yang tidak berpisah daripada agama Islam. Imam al-Ghazali RH menegaskan dalam beberapa kitabnya:
الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ، وَمَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.
“Agama (Islam) itu ialah asas, kuasa pemerintahan itu ialah pengawas, apa-apa yang tiada asasnya akan runtuh dan apa-apa yang tiada pengawasnya akan hilang (sia-sia).” (Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, ms. 128)
Para ulama’ yang tersohor menulis secara khusus dalam tajuk Siyasah Syar‘iyyah (Politik Islam), dengan menegaskan bahawa kuasa politik adalah menyeluruh dalam urusan negara merangkumi perjalanan semua hukum Islam secara sempurna dalam semua urusan manusia. Termasuklah dalam perkara agama dan kehidupan yang wajib diawasi dan dikawal secara terperinci. Begitu juga, dalam perkara yang tidak disebutkan secara nyata oleh nas al-Quran dan Sunnah.
Ketua negara adalah bertanggungjawab memantau setiap perjalanan jentera kerajaan dalam semua kementerian dan jabatan serta berhak campur tangan (semak dan imbang), apabila berlakunya penyelewengan dan salah laku.
Campur tangan dalam erti kata mengenakan pelbagai tindakan disiplin, bukannya campur tangan dalam urusan pentadbiran yang betul. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
”…فَالإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ…”
“…Maka ketua negara adalah pengawas, dia akan disoal berkenaan urusan rakyatnya…” (Riwayat al-Bukhari 2409)
Maka, pembahagian tugas dan kuasa antara ketiga-tiga badan tersebut bukanlah bermakna melepaskan peranan masing-masing seperti tali yang putus sebebas-bebasnya.
Rasulullah SAW pernah memecat Sa‘ad bin ‘Ubadah RA seorang pemimpin Ansar kerana melanggar disiplin.
Pada zaman Khalifah Abu Bakar RA pula, beliau menukar tugas Panglima Tentera Khalid bin al-Walid RA, sedangkan Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA pula menurunkan pangkatnya, dan juga memecat Al-‘Ala’ bin al-Hadrami RA kerana menyeberangi teluk tanpa sebarang arahan.
Manakala Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan RA pula memberhentikan ‘Amr bin al-‘As RA daripada tugasnya dan contoh-contoh yang lain.
Adapun yang dikatakan dengan doktrin pengasingan kuasa ialah suatu perkara yang dilaksanakan dalam pentadbiran dan pengurusan secara khusus, dalam lapangan masing-masing, tanpa berlaku gangguan terhadap tugasnya. Namun begitu, setiap badan wajib mengikut dasar kerajaan dan bergerak berdasarkan polisi yang telah ditentukan oleh kerajaan yang memerintah.
Terdapat beberapa buah negara memilih pendekatan dengan meletakkan jawatan penting dalam setiap kementerian dan jabatan mengikut parti yang memerintah. Sekiranya parti yang memerintah itu bertukar, maka mereka yang dilantik itu juga mesti ditukar. Sebaliknya, ada juga negara apabila sesebuah kerajaan yang memerintah bertukar parti, individu yang dilantik tetap dikekalkan jawatan masing-masing, tanpa ditukar dengan orang lain.
Mengikut peraturan, pegawai yang dikekalkan itu mestilah mengikut arahan kerajaan yang dikuasai oleh parti yang memerintah, walaupun mereka tidak menyokong parti yang menjadi kerajaan.
Jika mereka merasa tidak selesa dengan kerajaan yang bukan daripada parti yang disokong olehnya, secara moral mereka boleh sahaja meletakkan jawatan dan tidak memegang jawatan mengikut kemahuannya.
Sebagai contoh, seorang pemain bola sepak profesional yang berasal dari sebuah negeri seperti Kedah. Kemudian, dia menerima tawaran untuk bermain di Selangor kerana ditawarkan dengan bayaran yang lebih mahal. Dalam perlawanan bola sepak antara negeri asalnya iaitu Kedah dengan pasukan bola sepak negeri Selangor, tiba-tiba dia menyerang pintu gol Selangor untuk memenangkan pasukan negeri asalnya. Ini adalah suatu perkara yang salah dari segi moral.
Begitulah mereka yang menyokong Pakatan Harapan (PH) dan berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), tiba-tiba mengikut arahan PH yang sudah tidak menjadi kerajaan lagi.
Al-Quran menegaskan iktibar dalam memilih setiap individu yang diberikan amanah untuk mentadbir negara, berpandukan firman Allah SWT:
﴿…إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ٢٦﴾
“…Sesungguhnya orang yang paling baik untuk kamu ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” (Surah al-Qasas: 26)
Maka, pemilihan dalam kalangan teknokrat secara khusus oleh pihak kerajaan hendaklah mengikut panduannya berdasarkan bidang kuasa politik pemerintah.
Pihak teknokrat pula hendaklah melaksanakan tugas mengikut dasar dan polisi yang telah ditetapkan oleh pihak pemerintah, dibahagi mengikut konsep pengasingan kuasa, namun tidak terputus demi memelihara tanggungjawab secara kolektif dan saksama.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 27 Ramadhan 1442 / 9 Mei 2021