Perang Badar : Bukti Keikhlasan Dalam Berjuang
Perang Badar telah berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah. Ianya tercetus apabila Nabi SAW mengarahkan para sahabat untuk menyekat kafilah dagang Quraisy yang pulang dari Syam ke Makkah. Misi asal sekatan itu bukannya dengan tujuan berperang tetapi Abu Sufian meminta bantuan Quraisy untuk melindungi kafilahnya.
Peperangan ini memaparkan bilangan dan kekuatan yang jauh berbeza di antara tentera Islam melawan puak Musyrikin iaitu 313 melawan 1,000 tentera dengan kelengkapan yang canggih. Namun semua ini tidak mematahkan semangat tentera Islam terus berhadapan dengan musuh.
Di saat begitu genting, Baginda SAW bermesyuarat bertanyakan pandangan para sahabat khususnya kaum Ansar. Dengan penuh keyakinan dan keikhlasan Saad bin Muaz selaku ketua kaum Ansar berkata:
” Wahai Rasulullah, kami telah beriman dengan kamu, membenarkan risalahmu. Kami menyaksikan apa yang kamu bawa adalah benar dan kami telah berikan janji juga ikrar untuk mendengar arahan dan taat kepadamu. Oleh itu, teruskan wahai Rasulullah, apa yang kamu mahu. Kami tetap akan bersama kamu. Berangkatlah bersama kami dengan berkat Allah!”
Keikhlasan hati pejuang Badar ini telah mendapatkan doa yang istimewa daripada Rasulullah SAW. Baginda bersabda:
” Demi Tuhan yang jiwaku di dalam genggaman-Nya, sesiapa yang memerangi mereka (tentera orang musyrik) pada hari ini, kemudian dia terbunuh dalam keadaan penuh kesabaran dan ikhlas, terus maju dan tidak lari dari medan pertempuran, pasti Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.”
Akhirnya, kemenangan berpihak kepada Islam. Kira-kira 70 orang musyrik telah terbunuh termasuk Abu Jahal. Walaupun Islam sudah menang dan boleh sahaja membunuh tawanan perang, tetapi Rasulullah SAW memilih agar mereka dibebaskan dengan tebusan harta setelah dicadangkan oleh Saidina Abu Bakar r.a.
Melalui peperangan ini mengajarkan kita bahawa setiap perjuangan menegakkan Islam pasti akan diuji oleh Allah SWT sama ada sebelum mencapai kemenangan, mahupun selepas mencapai kemenangan. Bahkan ujian kemenangan itu lebih berat berbanding kekalahan.
Namun, ujian ini mampu ditempuhi oleh mereka yang ikhlas sebagaimana dibuktikan oleh tentera Badar yang sanggup berkorban di medan perang walaupun dalam keadaan amat sukar.
Kemenangan ini juga menguatkan lagi kedudukan Islam serta menambahkan keyakinan bahawa selamanya Islam berada dipihak yang benar dan kebenaran itu akan jelas terpancar apabila ada orang-orang yang ikhlas dalam perjuangan.