Oleh ABU BAKAR
BAGAN SERAI, 24 Apr: Sistem pentadbiran kerajaan merupakan suatu sistem yang menyeluruh merangkumi setiap peringkat sama ada diperingkat pusat (negara), negeri, daerah, kampung dan sebagainya meliputi atasan dan juga akar umbi.
Justeru masyarakat tidak sepatutnya tercicir dalam menerima manfaat atau bantuan dari pihak kerajaan. Ini kerana mereka mempunyai wakil-wakil kerajaan sama ada melalui agensi atau pemimpin yang dilantik khususnya di peringkat kawasan dan juga kampung.
Di peringkat Kampung, Pengerusi JPKK merupakan Orang yang bertanggungjawab sebagai perantara antara masyarakat dan kerajaan dalam memastikan bantuan bantuan kepada penduduk, dasar-dasar kerajaan dan juga pentadbiran khususnya di kawasan itu berjalan dengan lancar.
Perkara itu ditegaskan oleh ADUN Gunung Semanggol, Tuan Haji Razman Zakaria ketika menyampaikan ucapannya dalam program sumbangan infaq Ramadan yang berlangsung di Dewan PASTI Al Hidayah Jalan Kubu Gajah, Semanggol pagi tadi.
Menurutnya, JPKK juga turut merupakan wakil bagi pihaknya dalam menyelami masalah penduduk setempat.
“Yang kedua ni, Tok Ketua (JPKK) Azmi ni, dia sampai (bermakna) Pakteh sampailah.
Apa pun mengadu dekat depa. “Kalau kena ribut ka, kena apa ka, ‘nauzubillahi min zalik’ yang penting ada kita ambil tindakan untuk bagi bantuan kepada mereka”, ujar Razman.
Dalam pada itu beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perak seperti kelaziman di dalam setiap program yang dihadiri, turut menitipkan nasihat-nasihat berguna kepada para hadirin khususnya sempena menyambut bulan Ramadan ini.
Menghayati ibadah puasa di bulan Ramadan dengan mengambil pengajaran dan tujuan dari tuntutan agama ini, merupakan satu perkara penting kenapa ianya difardukan ke atas umat Islam.
“Puasa adalah satu konsep untuk (لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ) supaya kita jadi taqwa kepada Allah. Supaya kita ikut perintah Allah. Jangan tinggal satu pun (perintahnya), jangan guna akal kita untuk kita tak mahu melaksanakan perintah Allah”, tambah Razman lagi yang lebih mesra membahasakan dirinya sebagai ‘Pakteh’.
Program sumbangan pada pagi tadi tidak hanya berakhir di PASTI Al-Hidayah, namun tiga program serupa turut diadakan dan dihadiri oleh YB Pakteh iaitu di Kampung Parit Tiga Tebuk Matau, Kampung Tebuk Pancur dan juga Kampung Tersusun, Batu 7, Bukit Merah.
Dalam keseluruhan empat program yang berlangsung pagi tadi sejumlah lebih 300 bungkusan makanan termasuk beras disumbangkan kepada asnaf dan penduduk setempat yang memerlukan. Turut hadir wakil Cawangan PAS dari setiap kampung yang terlibat.
Sumber : https://www.facebook.com/watch/?v=473127487129789