Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2021. Tema sambutan kali ini, ‘Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin’ amat bertepatan dengan suasana negara yang masih sedang diuji dengan penularan wabak COVID-19. Sesungguhnya sifat prihatin dan cakna antara satu sama lain merupakan sifat yang penting dipraktikkan oleh kita semua.
DPPWP menyambut baik usaha Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mewujudkan lebih banyak kawasan rekreasi dan taman awam sekitar ibu negara dalam usaha ‘menghijaukan’ bandar raya konkrit ini yang kini didiami seramai 1.9 juta penduduk. Semestinya warga kota mengimpikan kualiti hidup yang lebih baik, selesa dan selamat serta pembangunan seimbang dengan kelestarian alam terjaga.
Di samping itu, DPPWP berpandangan bahawa isu kemiskinan bandar, keciciran pendidikan, perlidungan sosial dan kesihatan mental amat perlu diberikan perhatian oleh semua pihak. Pada Oktober 2020, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) telah menerbitkan laporan kajian kedua ‘Keluarga di Pinggiran’ yang membabitkan 500 buah keluarga di 16 flat kos rendah di Kuala Lumpur.
Ia jelas menunjukkan keperitan dan kesengsaraan hidup keluarga berpendapatan rendah yang menjadi kelompok paling terkesan akibat krisis kesihatan wabak COVID-19.
Semestinya keadaan ini kian memburuk apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan buat kali kedua pada pertengahan Januari 2021.
Ketika sebahagian daripada kita boleh duduk diam-diam di rumah masih boleh menikmati hidangan yang menyelerakan sepertimana yang dikongsi di media sosial, ingatlah masih ada di luar sana yang menghitung hari mengenang nasib untuk mencari rezeki mengisi perut yang kelaparan, anak yang kehausan berkurung di dalam ruang rumah yang sempit.Tema ‘Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin’ hanya dapat kita benar-benar hayati apabila kita semua sedia berganding bahu, berpadu tenaga untuk mengharungi ujian yang amat getir di abad ini.
Sekarang bukan masanya untuk saling menuding jari antara satu sama lain. Siapa yang bertanggungjawab?
Kita semua samada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan, syarikat swasta, mahupun orang persendirian mempunyai peranan yang perlu dipikul bersama.
Selamat Hari Wilayah Persekutuan
Mohammad Rashidi Abdul Razak
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
01 Februari 2021