Home Berita PAS Wilayah

BPPWP Terima Sumbangan Lebih RM300k Termasuk Dari Warga Tionghua

750
SHARE

Oleh : Dhiya’ Muttmainnah

BATU – Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) bagi Dana Pembelian Bangunan Darul Madani telah berlangsung dengan lancar petang tadi di Pejabat BPPWP di Diamond Square, Setapak.

Pembelian bangunan tersebut bertujuan untuk dijadikan sebagai Pejabat Operasi dan Pengurusan BPPWP serta Pusat Tarbiyah Ilmuan Profesional ke arah mencorak Wilayah Persekutuan sebagai Metropolitan Sejahtera.

Usaha murni ini mendapat kerjasama dan sokongan yang baik daripada ahli-ahli PAS sendiri selain golongan bukan Islam yang yakin dengan aspirasi ini dan turut sama berminat untuk menjayakan projek ini.

Antara yang menyumbang dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kim Koo Group Sdn Bhd, Lim Yoke Min sebanyak RM 200,000, Yang Dipertua PAS Lembah Pantai, Dr Azhar Yaacob sebanyak RM 3,000, Yang Dipertua PAS Titiwangsa, Haji Khairul Anuar sebanyak RM 7,000 dan Wakil Almarhum Subky Abdul Latif, Veteran PAS sebanyak RM1,000.

Terdahulu, sumbangan turut diterima daripada PAS Kawasan Wangsa Maju sebanyak RM 45,500, PAS Kawasan Bukit Bintang sebanyak RM 35,000 dan PAS Kawasan Lembah Pantai sebanyak RM 32,000 serta lain-lain kawasan dan individu dan jumlah terkumpul sebanyak RM196,000.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya, Timbalan Pesuruhjaya 3, Haji Abu Bakar Abd Rahman dan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Ustaz Azhar Yahya dalam ucapannya menegaskan bahawa BPPWP komited menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar metropolitan yang sejahtera berlandaskan acuan Islam.

“Hal ini dikuatkan lagi dengan usaha BPPWP untuk membeli sebuah bangunan yang dinamakan sebagai Darul Madani bagi melancarkan lagi kerja-kerja membawa Islam di tengah kota raya ini”, tambah beliau lagi.

Sumbangan masih dialu-alukan dan boleh dibuat melalui akaun rasmi Badan Perhubungan PAS Wilayah, No. Akaun 14023-010000-639, Bank Islam (M) Bhd.