Home Kenyataan Media PAS Wilayah

KENYATAAN MEDIA : Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan

759
SHARE

DEWAN ULAMAK PAS WILAYAH PERSEKUTUAN DESAK SUPAYA PROGRAM ANUGERAH BINTANG POPULAR BERITA HARIAN (ABPBH) DIBATALKAN

  1. Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) mendesak agar pihak Penganjur Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) membatalkan program tersebut bagi menghormati rakyat dan negara yang sedang berhadapan dengan musibah keperitan cabaran keselamatan rakyat dari ancaman pandemik Covid-19.
  2. DUPWP menegaskan bahawa aktiviti dan program hiburan ketika rakyat ramai yang sedang menderita, hilang punca pendapatan dan pekerjaan adalah sangat tidak wajar sama sekali dan menunjukkan seolah-olah penganjur tidak menghormati sensitiviti keperitan bencana yang sedang berlaku dan melanda rakyat dan negara sekarang.
  3. ISLAM ialah agama yang sesuai dengan fitrah. Fitrah manusia perlukan hiburan dalam kehidupan. Islam tidak menyekat umatnya mencari hiburan selagi mana tidak keluar daripada batas syarak dan tidak lalai daripada melaksanakan perintah agama. Kesederhanaan sangat penting dalam usaha mencari hiburan.
  4. Namun demikian, pada saat rakyat khususnya umat Islam sedang resah dilanda pandemik Covid 19, selayaknya kita membanyakkan aktiviti yang boleh mendekatkan diri kepada Allah swt, beristighfar dan melakukan amal kebajikan dengan pengharapan semoga Allah swt akan menyelamatkan kita, negara dan seluruh penghuninya dari wabak yang bahaya ini.
  5. Justeru itu, perlaksanaan program hiburan seumpama ABPBH ini perlu disekat segera. DUPWP dengan tegas mendesak pihak penganjur ABPBH untuk membatalkan program tersebut sebagai tanda solidariti kepada kerajaan yang bertungkus lumus mendepani pandemik COVID-19 dan seluruh barisan hadapan yang berkorban kepada negara. Seterusnya hendaklah diganti dengan program yang lebih bermanfaat dan tidak mengundang kemurkaan Allah swt.
  6. Sekiranya program tersebut diteruskan juga, maka DUPWP tidak teragak-agak akan melaksanakan kempen memboikot kepada pihak penganjur dan juga penaja yang terlibat dengan program tersebut.

USTAZ MOHD ALI BIN JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan