Oleh: Muhammad Hadi
ARAU : Golongan yang berilmu, khususnya alim ulamak diingatkan agar tidak bersikap sombong dengan ilmu yang ada kerana sikap berkenaan amat dimurkai Allah.
Menurut AJK PAS Pusat Ustaz Mokhtar Senik, terdapat banyak hadis yang menjelaskan perihal sikap berkenaan serta akibat yang bakal ditanggung oleh mereka yang sombong dengan ilmu mereka.
Jelasnya, para ulamak sepatutnya menggunakan ilmu yang ada untuk membimbing manusia ke arah kebenaran, bukannya menjadikannya hujah perdebatan dalam perkara-perkara yang diperselisihkan.
Namun katanya, mutakhir ini ada golongan yang memiliki ilmu khususnya dalam bidang agama, gemar menggunakan ilmu yang mereka ada untuk berdebat dalam isu-isu yang diperselisihkan.
“Ramai juga bila jadi ulamak, bila orang panggil ustaz, maka sibuk nak berdebat (walhal) berdebat ini bukan budaya para ulamak.
“Budaya ulamak apabila berhadapan dengan perkara khilaf, berlaku perbezaan pandangan, mereka bermuzakarah.
“Muzakarah dalam ertikata saling hormat-menghomati antara satu sama lain, bukan bertujuan untuk mengalahkan pihak lawan,” ujarnya ketika menyampaikan kuliah Subuh di Balai Islam MADI dekat sini baru-baru ini.
Beliau turut menggariskan lima ciri ulamak yang sebenar yang dituntut oleh Islam iaitu memiliki taqwa kepada Allah, sentiasa khusyu’ kepada Allah, tawadhuk sesama Mukmin, bersungguh-sungguh membela Islam dan mengutamakan akhirat.