Oleh: Basith Abdul Samad
9 November 2020
KINABATANGAN: PAS Kawasan Kinabatangan dibawah anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan yang diketuai oleh Abdul Aziz Baitul Makmur, Ketua Dewan Pemuda PAS Kinabatangan telah turun padang menyantuni barisan hadapan di sekitar kawasan Bukit Garam, hari ini.
Sumbangan kepada 100 penerima yang bertugas di barisan hadapan, terdiri daripada kakitangan wad kecemasan, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Hospital Kinabatangan dan pusat kuarantin Kinabatangan.
Menurut Abdul Aziz, sumbangan berupa sarapan pagi dan air mineral GAU yang disumbang oleh pengedar utama air GAU, Cikgu Anwar untuk barisan hadapan yang bertugas di Kinabatangan bertujuan meringankan dan melancarkan tugas mereka.
“Sumbangan ini menjadi bukti keperihatinan PAS dalam musim pandemik ini. Kita menghargai dan merasai penat lelah mereka yang menjaga dibarisan hadapan.”
“Kita mengharapkan agar sumbangan kecil ini dapat membantu mereka agar terus semangat dalam menjalankan tanggungjawab.” Kata Abdul Aziz.
Majlis yang serba ringkas dan singkat tersebut telah dilaksanakan dengan mengikut sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kelmarin, Abdul Aziz telah menyantuni dan menyampaikan bantuan berupa makanan tengah hari kepada barisan hadapan yang bertugas di sekatan jalan raya di Sentosa Jaya.