Home Berita PAS Melaka

Ketua Penerangan PAS Kawasan Kota Melaka terima PJK

1007
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

HANG TUAH JAYA, 2 Nov : Ketua Penerangan PAS Kawasan Kota Melaka, Azmi Aziz menerima anugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK), sempena sambutan Hari Jadi yang ke 71, Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Hj Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Negeri di sini pagi semalam.

Azmi ketika ditemubual Wartawan Rakyat Melaka (WARM) seusai majlis itu semalam menzahirkan ucapan terima kasih beliau terutamanya kepada Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek yang beliau sifatkan banyak membimbing ahli-ahli parti.

“Terima kasih kerana sentiasa membimbing kami khususnya ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi agar terus istiqamah dan maju ke hadapan dan membawa PAS Negeri Melaka ke arah yang lebih baik.” ujar beliau.

Selain memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan PAS Kawasan Kota Melaka pada sesi ini beliau juga adalah Ketua PAS Cawangan Padang Temu dari 2017 hingga kini; Pengurus Pasti Ar Rasyad dari 2017 hingga kini dan Pengurus Pasti Ijtihad dari 2019 hingga kini.

Beliau yang mula aktif di dalam PAS semenjak mendaftar sebagai ahli pada tahun 2010 itu juga adalah Penolong Setiausaha Pertubuhan Muafakat Ummah Melaka bagi sesi 2019-2020 selain sebagai Pegawai Khas Hubungan Antarabangsa Kepada YB Senator Datuk Seri (Dr) Mohamad Ali Mohamad.

Azmi mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah St Francis Institution Melaka dan memperolehi Ijazah Maritime daripada Malaysia Maritime Academy.

Selain aktif berpolitik beliau juga adalah merupakan ahli perniagaan dan Pengarah Urusan Advance Millenium Supply & Services Sdn Bhd.

Pingat Jasa Kebaktian yang diterima Azmi ini mula dikurniakan pada tahun 1962 kepada orang perseorangan yang berbakti dan berkhidmat dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab kepada Negeri Melaka dan pingat tidak membawa sebarang gelaran.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)