Home Berita PAS Selangor

Syura & Kaedah Penyelesaian Kemelut Politik Dalam Konteks Malaysia Hari Ini – Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor

820
SHARE

Oleh : Shafie Bin Ngah

Tulisan asal saya ini adalah dalam forum yg berlainan bukan di page ini. Tulisan ini merupakan respons saya kepada sahabat saya yang alim.

Saya kongsikan di sini sebagai tokok tambah walaupun ada banyak pandangan orang lain dalam isu semasa hari ini.

Ajrakumullah kepad al-fadhil ustaz F atas pemberian pandangan dengan fakta-fakta yang baik. Memang dikenali bahawa ustaz F seorang pencinta alim ulama dan penekun kitab terutama yang mu’asirah.

Izinkan saya memberi pandangan saya mengenai tajuk di atas. Tidaklah saya bermaksud mahukan jawapan ataupun respons daripada al-fadhil ustaz F. Ini sekadar perkongsian pandangan juga.

Benar syura adalah tindakan awal sebelum membuat sesuatu keputusan. Ia merupakan suruhan Allah, ia merupakan amalan Rasulullah, ia merupakan praktis para kibarussahabah dan khalifah-khalifah Islam terkemudian.

Namun ada juga masa-masa tertentu Rasulullah SAW membuat keputusan sendiri tanpa syura. Bahkan ada juga kibarussahabah membuat keputusan sendiri tanpa syura. Itu semua adalah kuasa prerogative mereka sebagai ketua negara.

Kuasa prerogative ini merupakan menifestasi kepada ayat 159 surah Ali Imran;

“…dan lakukanlah syura dalam urusan urusan itu. Apabila kamu sudah bertekad lalu membuat keputusan (kekallah begitu) dan berserahlah kepada Allah.”

Ibnu Jarir at-Tabariy mengatakan menerusi ayat tersebut Allah telah memerintahkan supaya baginda tetap bertegas dengan keputusan yang baginda telah buat sama ada untuk mengikut keputusan yang diperolehi secara syura ataupun keputusan baginda sendiri.

(boleh rujuk, antaranya Tafsir Jami’ al-Bayan lil Tabariy. Lihat juga Tafsir ar-Raziy dan Muhammad Ali as-Syawkaniy – Nayl al-Awtar Syarh Muntaqa al-Akhbar).

Sebab itu ada ulama besar menyebut bahawa perjanjian Hudaibiyah adalah keputusan baginda SAW sendiri bukan syura dengan para sahabat. Itu hak prerogative seorang ketua negara.

Abu Bakar as-Siddiq (r.a.) apabila menjadi khalifah antara perkara besar yag baginda buat adalah memerangi golongan yang enggan membayar zakat. Itu juga keputusan prerogative.

Namun dalam banyak perkara Rasulullah SAW dan para sahabat menerima pandangan ahli-ahli syura masing-masing.

Sekadar memberi satu dua contoh sahaja bagi menjelaskan konteks syura dalam zaman kegemilangan Islam.

Konteks Malaysia, yang sedang menghadapi krisis – politik, wabak dan ekonomi. Ini sedikit pandangan saya insan yang kerdil ini.

Negara sedang menghadapi krisis politik yang teruk. Jatuhnya kepimpinan kerajaan bermanifesto -Pakatan Harapan dan naik pula kerajaan tanpa manifesto -Perikatan Nasional dengan majoriti tipis – yang menjadikan kerajaan PN itu goncang.

Ujian pertama PN adalah perlantikan Speaker. PN menang tapi menang dalam keadaan penuh kebimbangan.

Menjelang sidang Parlimen akan datang ada usul undi tidak percaya. Katakanlah PN masih menang. Saya percaya menangnya pun tipis juga. Atau katakanlah DS Anwar Ibrahim menang pun bagi saya akan menang tipis. Lepas itu akan ada undi tak percaya lagi. Kumpulan itu menang esok-esok kumpulan ini pula buat undi tidak percaya. Apa nak jadi? Apa kesan kepada ekonomi? Apa kesan kepada rakyat? Apa kesan kepada pandangan negara luar? Dan lain-lain lagi.

Justeru, pada hemat saya yang jahil ini langkah paling baik ialah bubar Parlimen dan adakan PRU-15. Siapa menang dia jadi kerajaan (itupun jika dapat majoriti yang besar. Jika tidak, wal hasil balik asal-lah!)

Tetapi harus barang diingat mengadakan PRU-15 pada masa ini akan menjadikan wabak Covid-19 semakin kritikal sebagaimana yang berlaku sejurus selepas PRN Sabah. Mana ada pihak yang boleh terima. Silaplah kita jika buat PRU-15 pada masa ini. Sama seperti mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. Jika silap, pemerintah yang perlu bertangggugjawab bukan netizen, bukan cybertroopers. Yang merana semua sekali dari Raja hingga ke rakyat jelata.

Justeru, pemimpin perlu mencari jalan supaya urusan Parlimen digantung sementara menunggu suasana lebih selamat dan wabak dapat dikawal dengan baik. Tiada siapa yang mahu wabak ini berpanjangan waimma dari blok kerajaan mahupun blok pembangkang.

Harus barang diingat juga PRN Sarawak is around the corner! Bahkan PRK Batu Sapi (Sarawak) juga wajib dibuat mengikut Perlembagaan negara. Tinggal beberapa hari lagi.

So by hook or by crook PRN Sarawak dan PRK Batu Sapi itu pada hemat saya hendaklah ditangguhkan demi mengawal penularan wabak Covid-19.

Satu-satunya cara pada saya untuk meredakan ini semua -kemelut politik, wabak, ekonomi – perlu isytihar darurat.

Reda semua kemelut itu sekalipun tidak 100 peratus terutama wabak Covid-19 ini saya percaya PRU-15 wajib dijalankan. PRU-15 itu nanti boleh dibuat bersekali dengan PRN Sarawak. insyaAllah.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan membuat keputusan sehari dua nanti. Baginda, dalam menghadapi kemelut ini pasti mempunyai tokoh-tokoh hebat untuk membantu baginda dalam membuat keputusan.

YDPAgong ada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja, YDPAgong ada penasihat undang-undang (tidak cukup seorang, boleh ambil pandangan daripada pakar-pakar di universiti). Baginda ada General Angkatan Tentera. Baginda ada Peguam Negara. Baginda ada Hakim-Hakim senior. Baginda ada info daripada perisik-perisik negara. Baginda ada macam-macam sumber.

Itulah ahli syura baginda.

Jadi jangan bimbang dan percayalah YDPAgong pasti boleh membuat keputusan yang meyakinkan. InsyaAllah.

Sekadar pandangan.

Shafie Bin Ngah
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor

#ResetMalaysia
#DaulatTuanku
#KekalTenang
#MalaysiaSejahtera
#LockDownPolitik