Oleh : Zurk Ahmad
Malam tadi kami bermesyuarat secara atas talian bagi membincangkan beberapa perkara penting berkenaan strategi dan juga persiapan Jentera Pilihanraya diperingkat kawasan.
Ia adalah rentetan daripada keperluan peringkat negeri untuk mendapatkan maklumbalas berkenaan tahap persiapan dan kesiapsiagaan kami bagi menghadapi kemungkinan berlakunya PRU15 dalam masa terdekat. Akur dengan arahan semasa kami perlu bersiap sedia.
Dalam rancak berbincang salah seorang ahli mesyuarat mohon untuk mencelah.
Beliau adalah seorang doktor perubatan yang bertugas di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur. Dengan nada sebak dia memulakan bicara. Menceritakan perit jerih petugas kesihatan. Sudah berbulan mereka berperang dengan bencana wabak COVID-19.
Baru sahaja menarik nafas lega selepas gelombang kedua sebelum ini tetapi kembali berperang dengan gelombang ketiga yang jauh lebih ganas dan kejam. Kejam kepada mereka petugas kesihatan yang terpaksa bertungkus-lumus siang malam melakukan saringan, menjaga dan merawat pesakit dan yang paling utama menyebabkan mereka terpaksa “berjauhan” dengan anak-isteri serta keluarga.
PRN Sabah dipercayai menjadi titik tolak utama kepada gelombang ketiga merebak dengan begitu cepat. Walaupun sedikit menurun pada minggu ini tetapi Rt di Selangor terutamanya masih lagi tinggi (melebihi 1.4) yang mana kadar kebolehjangkitan ini akan memberikan nilai tambah kepada beban sedia ada yang ditanggung oleh petugas kesihatan.
Dengan suara sebak,l yang saya jangkakan mungkin kerana tersangat sedih dan letih beliau merayu agar ada pimpinan politik yang cakna akan hal ini dengan mengenepikan dahulu sentimen politik dengan meletakkan kepentingan rakyat dalam isu COVID-19 ini dihadapan.
Nada sebaknya menyentuh hati kami semua. Dan dek kerana mesyuarat tersebut hanya kedengaran suaranya sahaja tanpa video saya rasakan mungkin beliau mengikuti mesyuarat kami malam tadi di tempat beliau bertugas. Kagum!
Diakhir luahan tersebut juga dicadangkan agar peringkat parti menubuhkan task force bagi sama-sama meningkatkan kesedaran serta cakna orang politik terhadap tatacara pematuhan SOP bagi membendung penularan wabak yang semakin mengganas ini.
Sungguh, nada sebaknya menyentuh hati kami semua. Terkedu kami mendengarnya.
Zurk Ahmad
Pengarah Pilihanraya
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Jumaat Hari Hijau
23 Oktober 2020
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor
#covid19
#kekaltenang
#mestimenang
#jumaatharihijau
#youth4green
#PemudaPAS
#memimpinnegara