Home Berita PAS Selangor

Cerita Pasal Hak Istimewa Orang Melayu – Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor | Ustaz Shafie Bin Ngah

1181
SHARE

Oleh : Ustaz Shafie Bin Ngah

Assalamualaikum. Salam sejahtera. Kalai vanakem. Ta cher how?

Ada beberapa orang follower yang ikuti 2 – 3 tulisan saya baru-baru ini meminta saya ulas sikit tentang hak istimewa orang Melayu. Katanya dia tak faham dan tak rasapun orang Melayu ada hak istimewa.

Saya jawab ceritanya panjang.
Dia kata’ “pendekkan”.

Ok saya pendekkan!

Sejarahnya begini apabila Tanah Melayu mahu diberi kemerdekaan, Inggeris memberi syarat supaya penduduk Tanah Melayu yang dibawa masuk daripada luar sebagai buruh di lombong-lombong dan ladang-ladang diberi kerakyatan.

Demi menjaga hati orang-orang Melayu sebagai timbal balas pemberian kerakyatan kepada mereka maka orang Melayu diberi sedikit kelebihan. Kelebihan itu disebut sebagai hak istimewa – hak istimewa orang Melayu dan Bumiputra (saya ringkaskan tulisan ini sebagai ‘hak istimewa orang Melayu’ sahaja tetapi ia termasuk Bumiputra).

Lalu perkara-perkara bagi menjelaskan hak istimewa orang Melayu itu dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 153.

Secara mudahnya hak istimewa orang Melayu itu mengandungi dua perkara. Pertama tentang pendidikan kedua tentang ekonomi dan pekerjaan. Gunanya supaya orang Melayu yang sudah ketinggalan pada masa itu dapat dimajukan sesudah negara mencapai kemerdekaan. Mereka harus dibantu sehingga maju dan setanding dengan bangsa lain.

Ringkasnya begini:-

  1. Mengenai pendidikan; orang Melayu diberikan keutamaan untuk mendapat biasiswa bagi melanjutkan pengajian di dalam atau di luar negara.
  2. Mengenai ekonomi; orang Melayu diberikan keutamaan untuk mendapat lesen dan permit perniagaan.
  3. Mengenai pekerjaan; orang Melayu diberikan keutamaan untuk bekerja di sektor awam.

Walaupun orang Melayu diberikan keutamaan sebagaimana di atas, orang bukan Melayu tidak terhalang dalam mendapat bahagian dalam biasiswa, lesen, permit dan pekerjaan di sektor awam malah ia terbukti benar berlaku.

Sama seperti Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tidak bererti agama-agama lain tidak boleh diamalkan dengan aman dan damai dalam negara ini.

Sama juga seperti Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan tidak bererti bahasa-bahasa lain tidak boleh dituturkan di negara ini.

Dah pendek dah tu, kan?

Ustaz Shafie Bin Ngah
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor