Oleh : Zurk Ahmad
“Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
- COVID-19 adalah sejenis virus. Virus merupakan organisma bersaiz “mikro” yang tidak mempunyai dinding sel. Oleh itu ia tidak mempunyai bentuk yang tetap. Bentuk yang sentiasa berubah menjadikan virus ini sukar untuk dihapuskan dengan mudah. Apatah lagi jika ia bermutasi dan beradaptasi dengan persekitaran yang baru.
- COVID-19 boleh bertahan pada kulit kita sehingga Sembilan (9) jam. Ia tidak boleh berjangkit melalui udara tetapi kita boleh dijangkiti melalui kontak dengan titisan kecil (droplet) daripada saluran pernafasan. Sebab itu kita disaran untuk sentiasa memakai pelitup muka dan jaga jarak fizikal. Kekerapan membasuh tangan dengan sabun kekal relevan untuk mencegah penularan.
- COVID-19 masih belum ada vaksin. Ianya masih dalam penyelidikan dan mungkin mengambil masa yang lama untuk dikomersialkan di negara kita. Oleh itu, langkah pencegahan amat perlu bagi membendung penularan wabak pandemik ini. Antibiotik tidak dapat mengubati COVID-19 kerana antibiotik hanya digunakan untuk mengubati jangkitan bakteria, bukan virus.
- COVID-19 tidak mengenal usia, bangsa ataupun warna kulit. Namun begitu, risiko menjadi parah atau sukar dirawat jika ia menjangkiti individu yang mempunyai kondisi kesihatan tidak baik terutama yang mengidap penyakit kronik seperti seperti asma, diabetes, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi. Mereka yang mempunyai penyakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI) juga berisiko tinggi jika dijangkiti virus ini.
- COVID-19 yang menjangkiti individu akan menunjukkan simptom seperti demam, pening, sakit tekak, muntah, cirit-birit, keletihan, atau kesukaran bernafas. Simptom tersebut mungkin tidak sama bagi setiap individu. Walaubagaimanapun, untuk pengesahan sampel nasal akan diambil untuk dilakukan ujian RT-PCR.
- COVID-19 mengambil masa antara 1 hingga 14 hari tempoh inkubasi. Tempoh inkubasi ini tidak sama untuk setiap kes dan bergantung kepada tahap imuniti serta persekitaran individu yang dijangkiti. Perlu juga dibimbangi, mutakhir ini banyak kes yang dilaporkan ada suspek yang tidak bergejala tetapi dikesan positif apabila dilakukan saringan. Paling dirisaukan, keputusan negatif pada peringkat awal tetapi positif dihujung tempoh inkubasi. Oleh itu, tempoh kuarantin 14 hari yang ditetapkan perlu dipatuhi dengan berdisiplin dan berintegriti.
- Sehingga nota ini ditulis, sebanyak 40.1 juta kes dilaporkan di seluruh dunia dengan jumlah kematian adalah sebanyak 1.1 juta manakala jumlah kesembuhan adalah sebanyak 30 juta. Di Malaysia, sebanyak 20498 kes telah dilaporkan dengan jumlah pesakit sembuh sebanyak 13262 kes dengan jumlah kematian adalah sebanyak 187 orang.
- Dikhabarkan gelombang ketiga COVID-19 di negara kita lebih mencabar namun kita mendoakan agar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersedia dari segi kapasiti dan tindakan kesihatan awam.
- Nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) pada permulaan gelombang ketiga dilaporkan sebanyak 2.2 tetapi alhamdulillah telah menurun kepada 1.5 dalam tempoh empat minggu.
- Kita berusaha, kekal tenang dan akhirnya bertawakal dengan bermunajat kepada Allah swt supaya ujian ini segera berakhir dan kita semua dapat menjalani kehidupan seperti biasa dengan meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNya.
Aamiin ya rabbal’alamin.
Zurk Ahmad
Pengarah Pilihanraya
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
19 Oktober 2020
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor