Home Berita PAS Selangor

“Pemuda PAS Hulu Langat Komited Perkukuh Muafakat Nasional & Pertahan Perikatan Nasional” – Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Langat

1042
SHARE

Oleh : Zurk Ahmad

Jika ingin berkongsi pengalaman rasanya kami di Hulu Langat antara yang terawal merasai pengalaman bermuafakat. Selepas Sungai Kandis yang sedikit bergolak datang pula Seri Setia yang masih belum sempurna. Kemudian Cameron Highland yang mula berputik. Akhirnya Semenyih menjadi titik tolak yang sempurna. Disinilah dikumandangkan, buat pertama kali lagu “Terima kasih, terima kasih kepada PAS” usai mendapat berita kemenangan calon BN di PRK Semenyih.

Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Hulu Langat pada ketika itu telah mengarahkan seluruh kekuatan pemuda PAS yang ada di Hulu Langat untuk turun membantu Jentera Pilihanraya UMNO di PRK Semenyih. Sama-sama turun berkempen. Sama-sama sepentas berceramah. Sama-sama bergerak diatas 4×4 untuk slot speaker corner. Sama-sama berkonvoi untuk ziarah kebajikan.

KP PPUM sendiri membonceng motosikal yang ditunggang oleh Pemuda PAS Hulu Langat dan KP UMNO Selangor membonceng motosikal saya. Paling manis adalah kita sama-sama berpuasa sunat khamis kemudian iftar jamaie disusuli solat hajat dan munajat. Semuanya berlaku di PRK Semenyih.

Disinilah juga pimpinan Pemuda PAS Malaysia bermesyuarat secara rasmi buat pertama kali bersama Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada sebelah pagi manakala petangnya mengeratkan ukhwah dalam perlawanan futsal persahabatan. Pemuda PAS menang 3-2!

Rentetan kerjasama di PRK Semenyih kami pemuda PAS dan UMNO di Hulu Langat semakin akrab. Kami anjurkan perlawanan badminton, futsal dan pelbagai aktiviti lain bersama. Kami bergerak sebagai satu keluarga dalam mendepani pelbagai isu. Membuat laporan polis bersama-sama. Apatah lagi saya bersama KP UMNO Hulu Langat sama-sama bertugas di PWTC dalam peristiwa bersejarah 14 September 2019 – Himpunan Penyatuan Ummah. Saya mengetuai petugas dari Jabatan Amal Malaysia, beliau bersama Skuad Sabil. Kami sama-sama menitiskan air mata dan menahan sebak. Atas nama muafakat ke arah kebaikan dan kepentingan Melayu dan Islam kami lupakan sengketa lama. Kami berazam untuk bergandingan membantu melaksanakan serta merealisasikan apa yang telah diperuntukan dalam Piagam Muafakat Nasional.

Saya dan seluruh jentera Pemuda PAS Hulu Langat khususnya dan seluruh anak muda PAS amnya akan sentiasa berusaha keras untuk meletakkan kepentingan Islam dihadapan. Kami tidak akan berganjak dengan apa yang termaktub dalam Fasal 3 perlembagaan parti kami. Atas dasar itulah kami wala’ dengan arahan pimpinan kami. Kami wala’ andaikata diminta untuk menghulurkan tangan kepada sesiapa sahaja yang tidak menentang serta meletakkan kepentingan ummah dihadapan, mengatasi kepentingan peribadi.

Apabila ditakdirkan oleh Allah PAS dan UMNO bersama PPBM membentuk Kerajaan Perikatan Nasional, kami diarahkan oleh pimpinan untuk bersama-sama mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan dalam masa yang sama akan terus memperkukuhkan ukhwah dalam Muafakat Nasional (MN). Itu pendirian kami yang cukup jelas.

Cukuplah kita membiarkan rakyat marhaen terutama anak muda yang menjadi mangsa percaturan politik yang tidak berkesudahan. Hari ini mereka semakin tertekan dengan kemelut ekonomi akibat ancaman pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia. Jangan sampai anak muda mual, loya, muak dan bencikan politik serta ahlinya akibat ketidaktentuan yang tercetus dek kerakusan dan gila kuasa.

Marilah kita sama-sama doakan kemelut yang melanda negara ini dapat diselesaikan dengan baik. Kami anak muda sangat sayangkan perpaduan dan penyatuan yang baru terbina ini. Kami sanggup menjadi banteng paling hadapan andai diperlukan demi melihat anak-anak kami generasi akan datang mengecap kemakmuran dan kesejahteraan yang lebih baik.

Islam mengukuh perpaduan.

Zurk Ahmad
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Langat

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor

#youth4green
#PemudaPAS
#memimpinnegara
#islammengukuhperpaduan
#muafakatnasional