Home Berita PAS Selangor

Daun Pandan – Kredit Coretan Dari Negeri Selangor | Zurk Ahmad

703
SHARE

Oleh : Zurk Ahmad

Daun Pandan (screw pine leaves) atau nama saintifiknya “Pandanus amarylifolius” merupakan sejenis tumbuhan yang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu.

Ia mudah hidup dan biasanya ditanam ditepi longkang belakang rumah di kampung kerana sifatnya yang sesuai dikawasan lembab. Ada juga penghuni bandar yang menanamnya didalam pasu.

Penggunaan daun pandan agak meluas dalam masyarakat melayu dan ianya tidak terhad sebagai bahan dalam masakan malah ia juga digunakan dalam perubatan masyarakat Melayu.

Diantara kegunaan daun pandan adalah air perahan daunnya dijadikan sebagai bahan perasa, perwarna dan pewangi semulajadi dalam pelbagai kuih muih tradisional Melayu seperti kuih talam, kuih ketayap, seri muka, buah melaka, bingka dan lain-lain.

Helaian daun pandan juga digunakan untuk memasak nasi lemak atau nasi putih bagi membangkitkan lagi keharuman nasi berkenaan. Ia juga dimasuk bersama masakan air gula untuk dibuat gula cendol, sirap, mewangikan masakan pengat, bubur kacang dan pelbagai jenis bubur.

Dalam perubatan tradisional lemah saraf atau gelisah dikatakan mampu diatasi dengan mengambil tiga helai daun muda dan direbus bersama tiga gelas air ditapis dan diminum dua atau tiga kali sehari. Bagi menghitam dan mengatasi rambut gugur atau menghidar kelemumur, daun pandan juga boleh digunakan dengan merebus daun pandan hingga air rebusan menjadi hijau dicampur dengan air mengkudu dan diramas pada rambut selama 10 hingga 15 minit. Segenggam daun pandan yang ditumbuk halus kemudian airnya diambil dan dicampur sedikit garam untuk diminum 3 hari berturut-turut dikatakan boleh mengubat panau.

Selain dari itu daun pandan juga dijadikan pewangi asli bunga rampai dimajlis kenduri kendara. Juga digunakan untuk pembuatan bedak sejuk atau sebagai pencegah lipas, pewangi dalam tandas dan juga pewangi dalam kereta.

Pernah tengok daun pandan dihiris kecil dan dimasukan dalam jarring kecil kemudian digantung dalam kereta? Mesti pernah kan?

Tapi pernahkah kalian ketemu hirisan daun pandan kemudian dijadikan pewangi kereta sebesar ini?

Haha saya jumpa tadi dalam kereta Grab dalam perjalanan ke pusat servis kereta saya.

Perjalanan tak sampai 5km terasa sangat panjang dan memeningkan! Sadis haha.
Masih teringat keras baunya.

Zurk Ahmad
Pengarah Pilihanraya
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor