Oleh : Dhiya’ Muttmainnah
BATU : Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Batu Sub Zon 3, Hishamuddin Ghazali telah membuat satu aduan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan keadaan pokok-pokok besar yang mengancam keselamatan penduduk di sekitar PPR Pekan Batu baru-baru ini.
Menurut Hishamuddin, pokok-pokok besar tersebut telah mengundang bahaya apabila tebing jalan di sekitarnya juga telah terhakis dan risiko untuk tumbang juga sangat tinggi.
“Sebelum ini juga sudah ada pokok besar yang tumbang menghempap rumah penduduk.
Pihak kami turut menerima rungutan penduduk yang disuarakan melalui Pengerusi PPR Pekan Batu berkaitan dahan-dahan pokok yang berbahaya terutamanya apabila angin kencang melanda,” ujar beliau.
Aduan tersebut juga telah disertakan dengan cadangan kepada pihak DBKL untuk menebang pokok-pokok besar yang berbahaya serta dahan-dahan yang berisiko untuk patah.
Besar harapan pihak MPP Batu Sub Zon 3 agar pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penduduk terjaga.