Oleh : Ustaz Shafie Bin Ngah
Ada negara yang menghukum tembak pesalah rasuah. Itu tindakan luar biasa bagi menghentikan rasuah. Negara kita mungkin tidak bersedia begitu lebih-lebih lagi kuatnya suara memperjuangkan hak asasi manusia.
Wallahu a’lam.
Semalam, diberitakan ada DPP (Deputy Public Prosecutor – Timbalan Pendakwaraya) ditahan reman kerana tuduhan rasuah. Jumlah rasuah banyak sekali. Beliau sudah ditahan reman. Sekalipun sudah ditahan reman kita tidak tahu sejauh mana kuatnya kes tersebut.
Satu : Rakyat mahu badan kehakiman bertindak bebas
Jika kesalahan berlaku pada tahun 2016 dan baru sekarang diheret ke mahkamah bermakna tidak mudah untuk establish kes seumpama itu. Ya, memang kes jenayah sukar untuk di-establish. Walaupun demikian rakyat mahu kerajaan memerangi rasuah habis-habisan.
Mana-mana orang yang didakwa sudah tentu boleh membela diri tidak kiralah kes rasuah atau money loundring salah guna kuasa atau sebagainya. Semua orang adalah ‘innocent until proven guilty’.
atau, الاصل براءة الذمة
Cuma rakyat mahu dan merayu jangan ada campur tangan dari pihak legislatif mahupun eksekutif. Biar badan judiciary bergerak bebas.
Benar rakyat mahu negara ini keluar daripada kemelut dan tohmah ‘orang-orang tertentu campur tangan kes mahkamah’. Selagi ada campur tangan selagi itulah negara kita berada di takuk lama.
Dua : Rakyat mahu mereka yang memberi rasuah dan mengambil rasuah dihukum berat
DPP adalah sebuah institusi penting negara. Institusi yang berada di Jabatan Peguam Negara ini diberi amanah untuk mendakwa pesalah rasuah. Jika benarlah kes tersebut berlaku, malang dan amat mengecewakan sekali apabila institusi yang diharap untuk membenteras jenayah rasuah turut makan rasuah.
Inilah yang diumpamakan oleh pepatah Melayu; “harapkan pegar, pegar makan padi.”
Tetapi jika tidak ada pemberi manakan ada penerima. Ada penerima rasuah adalah pemberi rasuah.
Justeru, pemberi dan penerima rasuah jika didapati salah maka hukuman berat sangat wajar dikenakan demi menjadi pengajaran kepada yang lain. Jika wajar dihukum tembak pinda undang-undang.
Tiga : Kes berkaitan dengan harta milik kerajaan.
Kes tangkapan DPP di atas diberitakan ada kaitan dengan urusniaga tanah (land dealings). Kemungkinan besar tanah yang dimaksudkan adalah tanah milik kerajaan. Jika benar demikian, hak milik negara sudah menjadi korban.
Apabila melibatkan hak milik negara ini bukan perkara kecil. Ia melibatkan keselamatan negara. Ia melibatkan kekayaan negara. Ia melibatkan kedaulatan negara.
Justeru, penjagaan tanah kerajaan mesti diutamakan. Sebarang aktiviti pencerobohan tanah kerajaan mesti segera diambil tindakan. Kerajaan Pahang sebagai contoh rakyat mahu melihat secara telus bagaimana tindakan telah dan akan dibuat terhadap pelaku-pelaku jenayah pencerobohan 4 ribu hektar tanah yang di tanam durian di daerah Raub.
Jangan sampai yang kaya menjadi raja dan yang miskin merempat melarat.
Jangan sampai nasi menjadi bubur.
Sebuah hadith, ‘Abdullah bin ‘Amru menyebut; “Rasulullah melaknat pengambil dan pemberi rasuah.”
لعن رسول الله الراشي والمرتشي
Ustaz Shafie Bin Ngah
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor
#MalaysiaBebasRasuah