Home Berita PAS Selangor

Pertembungan Politik Pada Ketika Ini Menyusahkan Rakyat & Negara – Kredit Coretan Dari Negeri Selangor

481
SHARE

Oleh : Tuan Syaiful Haizam

Ramai daripada kita semakin gusar akan peningkatan semula kes Covid-19 dalam negara. Catatan terbaru kes Covid-19 tertinggi dalam negara direkodkan beberapa hari lalu iaitu 691 kes, tidak termasuk beberapa hari sebelum dan selepasnya yang turut mencatatkan angka tertinggi perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak termasuk sekalian rakyat.

Pelbagai andaian mahupun teori yang diutarakan saat ini tentang kenaikan semula kes Covid-19 amat merisaukan rakyat namun apa yang perlu diberikan perhatian sebenarnya ialah pertembungan politik di kala peningkatan semula Covid-19. Hakikatnya pertembungan politik amatlah tidak sesuai di kala penularan Covid-19 masih lagi tidak dapat “ditewaskan” dan kita masih belum lagi menang.

Pertembungan politik menjadi semakin serius beberapa hari sebelum berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan selepas berakhirnya pilihan raya tersebut. Kes Covid-19 meningkat dengan ketara selepas berakhirnya PRN Sabah dan bermulalah serangan politik kerana peningkatan tersebut di kedua-kedua belah pihak baik dari gabungan parti pemerintah mahupun pembangkang.

Menambahkan lagi kehangatan pertembungan tersebut apabila ahli politik di kedua-dua belah pihak dijangkiti Covid-19. Rakyat yang mula cemas dengan kenaikan tersebut mula menyerang ahli-ahli politik di media sosial dengan kata-kata cacian dan makian di mana sepatutnya saat ini kita semua berkerjasama untuk menyekat penularan ini.

Tidak akan berlaku penurunan kes jika kita memaki hamun dan mencela seseorang namun jika kita menuruti arahan kerajaan dan melaksanakan penjagaan diri serta keluarga, ianya amat membantu. Sedihnya, ketika terjadinya perkara sebegini hilang adab kesopanan dan ketimuran kita termasuk juga tuntutan agama yang menyarankan kita agar mendoakan orang yang sedang sakit.

Kalimat “saya doakan awak sembuh“, “syafakallah” dan “get well soon“ yang selalu kita ungkapkan ketika seseorang sedang sakit hilang dari bibir dan ingatan. Adab, kesopanan, tuntutan agama mahupun kemanusiaan hilang kerana hasutan dan perbezaan ideologi politik. Adakah dengan melakukan sedemikian kita mampu memajukan negara dan menaikkan taraf hidup rakyat yang sedang bergelut dengan kesempitan ekonomi mahupun kehidupan akibat wabak pandemik Covid-19?

Kita acapkali memaparkan di media sosial ayat-ayat Al-Quran, hadith, kata-kata hikmah dan pelbagai nasihat yang bertujuan untuk mempamerkan kematangan dan ketamadunan kita tetapi apabila tiba saat sebegini, kita menjadi lebih “barbaric“ atau kejam dari pembuli di media sosial mahupun pembuli jalanan yang membuli pemandu yang lemah mahupun pemandu mabuk yang menghuru-harakan pengguna jalanraya.

Ketika ini bukan sahaja rakyat kebanyakkan yang berperangai sebegini tetapi turut membabitkan ahli politik yang menyerang di antara satu sama lain. Ini lebih menggerunkan kerana ia mampu mencetuskan ketidakstabilan politik dan mengganggu urusan pentadbiran negara. Mungkin ada yang tidak setuju dengan andaian sedemikian tetapi ada kebenarannya. Contoh yang akan digunakan ini adalah penanda aras jelas bagaimana ketidakstabilan politik mampu menjejaskan usaha kita semua dalam memerangi wabak pandemik Covid-19.

Amerika Syarikat, sebuah negara yang diagungkan ramai pihak di dunia sebagai sebuah negara paling maju, bertamadun dan ibu kepada demokrasi dunia. Apa sahaja yang dilakukan oleh Amerika Syarikat wajar diagungkan dan diberikan pujian kerana semuanya adalah benar dan terbaik namun ketika ini, ketika wabak pandemik Covid-19 melanda dunia, ia sebenarnya telah membongkarkan kelemahan, “kebobrokan“, kedangkalan mahupun keburukan sebuah negara yang diagungkan masyarakat dunia.

Semenjak Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, politik menjadi agenda paling utama pentadbiran negara tersebut berbanding kesejahteraan dan kebajikan rakyatnya. Bermula dari pagi hingga ke tengah malam, semuanya bergelumang dengan politik. Tambahan pula Donald Trump sendiri penggemar utama media sosial terutamanya Twitter, hampir dikatakan setiap saat beliau beradu kekuatan politiknya di medan Twitter termasuk melaksanakan dasar dan pentadbiran Amerika Syarikat.

Akibat terlalu mementingkan politik, amaran pertama tentang bahayanya Covid-19 pada hujung tahun lalu oleh pelbagai agensi di bawah pentadbirannya tidak diendahkan malah beliau meremehkan perkara tersebut dengan pelbagai alasan. Pada Mac 2020, kes Covid-19 menjadi nyata di Amerika Syarikat dengan pada 2 Mac 2020, sebanyak 16 kes dicatatkan di seluruh Amerika Syarikat.

7 bulan berlalu, Amerika Syarikat adalah negara tertinggi kadar jangkitan kes Covid-19 dengan sebanyak 7.53 juta kes Covid-19 dan 211 ribu kematian direkodkan. Angka tertinggi kes Covid-19 yang dicatatkan pada satu-satu hari ialah pada 16 Julai 2020 iaitu sebanyak 75,682 kes, itu sudah terlalu tinggi berbanding keseluruhan kes yang dicatatkan di seluruh negara sejak bermulanya penularan wabak Covid-19.

Apakah benar kerana terlalu mementingkan politik menyebabkan penularan kes Covid-19 begitu tinggi di Amerika Syarikat? Mungkin ianya benar namun elok ianya diimbau kembali ketegangan politik di Amerika Syarikat di kala menularnya wabak pandemik Covid-19. Namun sebelum itu perlu diakui bahawa kuasa politik adalah mustahak untuk mengekang penularan wabak ini kerana ia meliputi kuasa arahan, pematuhan, kestabilan sosioekonomi, kesejahteraan rakyat dan prinsip asas pentadbiran.

Ketika mulanya penularan hebat wabak pandemik Covid-19 di Amerika Syarikat, Donald Trump dengan bangganya mengatakan bahawa ia bukan wabak yang serius dan akan hilang bagai ditiup angin, bertentangan dengan apa yang diutarakan oleh agensi kesihatan Amerika Syarikat. Tindakan beliau yang tidak memakai pelitup muka dan tidak mematuhi saranan agensi kesihatan Amerika Syarikat menyebabkan rakyat Amerika Syarikat sendiri tidak mematuhi segala saranan mahupun prosedur untuk menghalang penularan wabak Covid-19.

Malah Donald Trump juga turut mengadakan kempen-kempen politik di seluruh Amerika Syarikat sama ada di dewan mahupun stadium di mana pengikut politiknya langsung tidak mematuhi saranan mahupun arahan yang dikeluarkan agensi kesihatan Amerika Syarikat. Retorik beliau yang luas dan kuat diterima pengikutnya di mana beliau mengatakan bahawa Covid-19 adalah “political hoax” oleh pihak berhaluan kiri atau lebih tepatnya parti Demokrat turut menyebabkan banyak rakyat Amerika Syarikat tidak mengambil peduli dan mempercayai kewujudan Covid-19.

Pertembungan politik antara Donald Trump dan partinya iaitu parti Republikan dan Demokrat dipelbagai lapangan banyak memburukkan lagi keadaan. Ahli politik Demokrat yang menumpukan sepenuhnya serangan ke atas Donald Trump berkaitan kes siasatan Robert Muller, Roger Stone, Micheal Cohen, Rudy Giuliani dan dua konconya dalam kes Ukraine telah banyak mengalihkan tumpuan yang sepatutnya diutamakan untuk mengatasi penularan wabak Covid-19.

Pertembungan menjadi bertambah hebat lagi hingga ke saat ini apabila lebih kurang sebulan lagi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat akan berlangsung. Ketika ini pertembungan sampai ke kemuncak apabila dijangka akan berlaku pertembungan amat sengit di Dewan Senat untuk memilih calon hakim mahkamah tertinggi Amerika Syarikat iaitu Supreme Court setelah kematian Ruth Bader Ginsburg.

Malah pertembungan politik ini juga turut merencatkan proses bantuan kepada rakyat dan pemulihan ekonomi Amerika Syarikat apabila baik di Kongres mahupun Dewan Senat Amerika Syarikat, pakej pemulihan ekonomi yang dicadangkan baik oleh Republikan mahupun Demokrat tidak diterima oleh kedua-dua belah seteru politik ini yang akhirnya tidak mampu diluluskan oleh dikedua-kedua dewan. Hingga saat ini, Speaker Kongres Amerika Syarikat Nancy Pelosi dan Steve Mnuchin masih lagi berunding bagi memperhalusi pakej-pakej rangsangan ekonomi setelah beberapa kali gagal dan menemui jalan buntu.

Pertembungan politik di kala penularan wabak pandemik Covid-19 turut menjejaskan ketenteraman awam Amerika Syarikat. Retorik politik Donald Trump bahawa Covid-19 adalah “China Virus“ menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam Amerika Syarikat. Orang-orang berketurunan Asia rakyat Amerika Syarikat mahupun imigran Asia yang bermastautin di Amerika Syarikat menjadi sasaran akibat retorik perkauman tersebut. Itu tidak termasuk lagi rusuhan perkauman yang berlaku di beberapa bandar di Amerika Syarikat seperti Jacksonville, Minneapolis, Portland, Washington DC, Manhattan, Detroit dan beberapa bandar lagi.

Jika kita semua amati dan menilai kesemua senario tersebut, ia sebenarnya langsung tidak memberikan manfaat kepada rakyat Amerika Syarikat malah menyusahkan dan membebankan mereka kerana akibat pertembungan politik yang melampau, usaha yang seharusnya ditumpukan untuk menangani wabak pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat Amerika Syarikat tidak dilaksanakan.

Kita mungkin tidak sampai ke tahap Amerika Syarikat berikutan ramai dalam kalangan rakyat kita yang patuh dan mengikuti arahan serta saranan pihak berkuasa namun memandangkan saat ini pertembungan politik semakin meningkat, ianya wajar diambil kisah dan peduli secara serius. Lebih memburukkan keadaan, pengikut-pengikut politik turut sama menjadikan suasana lebih buruk namun percayalah, terlalu ramai rakyat yang sayangkan negara, keluarga, masyarakat dan masa depan kita semua.

Jangan pula kita terikut-ikut “alunan“ dan kehendak pemain politik untuk menyambut retorik mereka dalam usaha untuk merealisasikan agenda politik mereka. Sepatutnya pemain-pemain politik yang tamak haloba dan gilakan kuasa ini sedar keadaan sekarang dan utamakan rakyat serta kesejahteraan negara. Rakyat saat ini sedang menghitung nasib dan masa depan mereka namun pemain politik sebegini sedang mencatur permainan mereka untuk menaiki “takhta“. Berbaloikah kita mengikut alunan dan tarian mereka demi hawa nafsu serta kegelojohan mereka?

Pemimpin datang dan pergi, tiada satu pun yang kekal. Kita boleh ubah setiap kali pilihan raya kerana kuasa memilih berada di tangan kita namun masa depan kita, keluarga, masyarakat dan negara tidak boleh dijual beli serta hanya datang sekali. Sepatutnya sekarang, baik gabungan parti pemerintah atau pembangkang memikirkan kaedah terbaik bagi menangani penularan wabak Covid-19 dan usaha memulihkan ekonomi negara. Saat ini bukan saat berperang tetapi saat pemulihan dan rakyat amat memerlukannya.

Berhentilah dari melakukan kerja sia-sia dan menyusahkan rakyat, peperangan politik hanya menguntungkan ahli politik semata-mata, ahli politik yang gilakan habuan dan “takhta“ dan bukannya rakyat jelata. Adakah kita mahu menjadi seperti Amerika Syarikat yang sebenarnya lebih teruk dari negara kita sendiri? Cukuplah, rakyat sudah mula bosan dengan telatah dan keranah anda semua. Anda mungkin tidak sedar kerana dikelilingi oleh orang-orang yang senantiasa mengatakan baik dan hanya “angguk“ akan segala tindak tanduk tetapi rakyat sudah mula muak dan cuak.

Lupakan gelagat ahli politik yang tidak pedulikan nasib rakyat dan masa depan negara. Masa depan negara berada di tangan kita semua dan kita yang menentukan hala tuju perjalanan hidup kita namun ingatlah, nasib politik mereka juga berada di tangan kita semua. Tolak ahli politik rakus dan tidak menghiraukan nasib rakyat yang sedang mengharungi situasi getir ini. Tanpa anda sedari, anda mampu mengubahnya kelak.

Apa sekalipun syabas diucapkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota pentadbirannya kerana telah berusaha sedaya mampu menangani situasi ini. Walaupun terdapat kelemahan dalam kalangan sesetengah anggota pentadbiran kerana mungkin disebabkan baharu mahupun gugup berdepan dengan situasi getir sebegini serta berdepan dengan pelbagai kritikan, mereka wajar diberikan pujian kerana berusaha dan mencuba tanpa takut berdepan dengan cabaran mahupun tohmahan.

Tahniah juga diucapkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Kementerian – Kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang terbabit yang berusaha sedaya upaya membantu rakyat dan negara dalam menghadapi saat getir ini. Segala usaha serta apa yang dilakukan anda semua senantiasa dihargai dan wajar diberikan pujian.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua “Frontliners“ yang sejak dari mula lagi bertungkus-lumus membanting tulang serta tenaga siang dan malam tanpa mengenal erti penat dan jemu membantu rakyat dan negara dalam menangani situasi getir ketika ini. Jasa anda semua tidak mampu dibalas dan semoga Allah SWT memberkati dan merahmati anda semua.

Semoga Malaysia dan rakyatnya mampu mengharungi saat yang getir ini dengan jayanya demi masa depan yang lebih cemerlang dan gemilang.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor