BACALAH WAHAI TEMAN (26)
Rabu, 30 September 2020
BERJUANG MENANGANI COVID-19 DI ATAS LANDASAN SYARAK
Kebelakangan ini, masyarakat sudah mulai kurang prihatin mengenai perkembangan COVID-19. Mungkin kerana terlalu lama menghadapi wabak ini, masyarakat menjadi lali dengan berita-berita jangkitan dan peningkatan angka maut tanpa disedari.
FAKTA GLOBAL
Sedarkah kita, peningkatan kes seluruh dunia meningkat mendadak dalam sejak akhir akhir ini. Dalam tempoh tiga bulan, bermula 22 Januari hingga 22 April tahun ini, sebanyak 2.6 juta kes kumulatif dilaporkan. Tiga bulan seterusnya, kes bertambah menjadi 15.3 juta yang berakhir pada 22 Julai. Hanya dua bulan selepasnya iaitu pada 22 September, kes melonjak ke angka 31.8 juta!
Angka kematian pula sejak 27 September sudah melebihi 1 juta orang. Dengan trend peningkatan kes yang mendadak mutakhir ini, dianggarkan bilangan kematian akan bertambah dengan drastik sebelum vaksin atau senjata memerangi virus ini ditemui.
Kes paling tinggi direkodkan berlaku di negara paling maju dunia, Amerika Syarikat. Ia menyumbang hampir 20% jumlah kumulatif kes sedunia iaitu sebanyak 7.4 juta. 3 negara lain turut mencatatkan angka melebihi 1 juta iaitu India, Brazil dan Rusia. 7 daripada 10 negara dengan kes tertinggi di dunia, adalah dari Hemisfera Barat.
KEDUDUKAN MALAYSIA
Malaysia berada pada tangga 95. Walaupun keadaan negara ini sudah lebih baik berbanding peringkat permulaannya, namun ia masih belum menunjukkan tanda rantaian jangkitan virus tersebut dapat diputuskan. Selesai satu kluster, timbul pula kluster baharu, bahkan dengan mutasi yang lebih dahsyat.
Trend jangkitan mula menurun selepas PKP dilancarkan. Namun selepas PKP dilonggarkan ke PKPP, trend mulai meningkat semula. Awal bulan ini sahaja, kes mula melebihi angka 50 hingga mencecah 200 sehari.
Melihat kepada keadaan di Malaysia, kebanyakan kes terbaharu dalam tempoh PKPP adalah berasal dari kes import. Beberapa kes selebihnya dikesan akibat daripada pesakit yang tidak mematuhi arahan kuarantin.
KEPERLUAN MEMATUHI SOP
Walaupun kuarantin dianggap sukar buat kita yang hidup dalam masyarakat madani, namun ia adalah satu saranan yang wajib dalam menjaga kesejahteraan awam. Nabi SAW sendiri berpesan agar tidak dikunjungi tempat yang berwabak dan tidak keluar dari tempat wabak. Ia adalah prinsip kuarantin paling fundamental.
Sabda Rasulullah SAW:
إذَا سمِعْتُمْ الطَّاعُونَ بِأَرْضٍ، فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإذَا وقَعَ بِأَرْضٍ، وَأَنْتُمْ فِيهَا، فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا
Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut janganlah kamu keluar dari situ.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Islam mengamalkan kuarantin jauh lebih awal daripada barat, menurut Prof Abdul Jawwad dari Universiti Kaherah, Khalifah Umawi Al-Walid bin Abdul Malik (meninggal 705 Masihi) telah membina hospital pertama di Damsyik bagi merawat penyakit kusta (leprosy) dan melarang orang awam mendekati mereka. Pakar perubatan Islam, Abu Bakar ar-Razi (meninggal 925 Masihi) pula telah menulis tentang kusta dan cara mencegahnya.
Kajian mikrobiologi kemudiannya dikembangkan oleh Ibn Sina (meninggal 1037 Masihi) melalui bukunya قانون في الطب. Menurut sebuah artikel keluaran majalah The Fountain bertajuk “Ibn Sina: An Exemplary Scientist”, Ibn Sina mendapati jangkitan berlaku disebabkan pencemaran badan oleh mikroorganisme asing dan mikroorganisme itu menjadi punca kepada penyakit-penyakit berjangkit.
Ibn Sina bukan sahaja menyatakan tentang kewujudan mikroorganisme, bahkan beliau mengandaikan bahawa mikroorganisme ini boleh menular dengan cepat. Beliau turut mencadangkan agar mereka yang dijangkiti seumpana ini supaya dikuarantin.
PATEN VAKSIN
Berbincang mengenai langkah menangani COVID-19 ini, kajian dan pembangunan vaksin juga perlu diteliti sebaiknya. Oleh kerana dunia pada hari ini sedang berlumba untuk menjadi negara pertama menghasilkannya, maka seharusnya ia menjadi barang keperluan awam. Sebaiknya formulanya tidak perlu dipatenkan dan hak menghasilkannya diberikan kepada semua negara.
Memiliki kehidupan yang sihat adalah hak asasi setiap manusia. Di dalam Islam, keperluan asasi tidak boleh dimilik-swastakan oleh sesiapa. Akses kepadanya perlu dibolehkan kepada semua yang bernama manusia seperti air, api dan udara. Selaras dengan hadis Nabi SAW
المسلمون شركاء في ثلاث: في الماء والكلأ والنار
Orang Islam itu berkongsi tiga perkara, air, kawasan lapang dan api. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Sebab larangan memonopoli ketiga tiga unsur ini ialah disebabkan keperluan bersama yang menjadi hak asasi setiap manusia. Justeru, perkara yang berkait dengan keperluan hak manusia tak wajar dibataskan atau dimonopoli oleh sesiapa.
Perkara ini turut disuarakan oleh ketua negara-negara di dunia. Dalam Perhimpunan Kesihatan Sedunia (World Health Assembly) yang diadakan pada bulan Mei yang lalu, puluhan ketua negara seperti Afrika Selatan, Pakistan, China, Perancis, Senegal dan Ghana menyeru supaya vaksin COVID-19 tidak dipatenkan dan akses kepadanya diberikan percuma ke seluruh negara (Global Public Goods).
KESIMPULAN
Kesimpulannya, kita masih belum menang melawan musuh manusia ini. Pematuhan terhadap SOP masih perlu diteruskan. Walaupun ianya akan menyebabkan aktiviti ekonomi tergendala, namun kesihatan perlu diutamakan. Mengikut turutan Daruriyyat al-Khams (ضروريات الخمس) kepentingan nyawa yang meliputi kesihatan dan kesejahteraan fizikal manusia diutamakan berbanding kepentingan harta.
Insya Allah bermula bulan Oktober, Kerajaan Negeri Perak akan mengadakan kempen berkaitan pembudayaan norma baharu. Satu usaha ke arah melaksanakan tuntutan syariat, iaitu penjagaan nyawa. Doakan supaya usaha ini dapat disambut dengan baik oleh semua rakyat Perak.
Oleh:
YB Mohd Akmal bin Hj Kamarudin
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak