Oleh : Ustaz Hanif J
Keadilan perlu ada bukan hanya ketika menjadi hakim pertandingan sahaja akan tetapi keadilan Islam mencakupi semua aspek kehidupan meliputi sosial, undang-undang, politik, budaya dan ekonomi.
Ia membentuk peribadi seseorang manusia dalam pembinaan masyarakat yang harmoni. Keadilan Islam adalah bersifat sejagat iaitu bukan hanya untuk orang Islam semata-mata tetapi juga meliputi seluruh manusia tanpa mengira keturunan, warna kulit dan agama.
Indahkan keadilan Islam, sebab tu Islam ni rahmat untuk semua. Allah memerintah kepada umat Islam agar berlaku adil pada semua. Bahkan Allah melarang berlaku zalim kepada mereka yang bukan Islam.
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.
Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maaidah: 8)
Dalam satu peristiwa yang terjadi kepada Khalifah Ali bin Abu Talib, beliau menjumpai baju besi yang hilang berada bersama seorang lelaki bukan Islam.
Khalifah Ali cuba untuk mendapatkan semula baju itu, tetapi dinafikan oleh lelaki berkenaan sambil menegaskan baju besi itu adalah miliknya. Kes itu kemudian dibawa ke muka pengadilan dan Hakim Syuraih al-Qadhi menjadi hakimnya. Hakim Syuraih al-Qadhi yang mengadili kes itu meminta Khalifah Ali membawa bukti.
Bagaimanapun, Khalifah Ali mengakui beliau tidak mempunyai bukti yang baju besi itu adalah miliknya. Beliau cuma ada dua orang saksi iaitu seorang hambanya bernama Qanbar dan anaknya, Hassan.
Persaksian hambanya diterima. Bagaimanapun, persaksian anaknya, Hassan ditolak. Hakim Syuraih menolak persaksian seorang anak kepada bapanya.
Akhirnya, Hakim Syuraih membuat keputusan bahawa baju besi itu adalah kepunyaan lelaki bukan Islam itu.
Lelaki itu berasa sangat gembira dengan keputusan penghakiman. Beliau sangat kagum dengan sikap Hakim Syuraih yang menghukum secara adil tanpa rasa takut untuk memihak kepada seorang ketua negara.
Lelaki bukan Islam ini lantas melafazkan persaksian bahawa Allah adalah Tuhannya dan Nabi Muhammad pesuruh Allah.
Oleh itu, keadilan adalah akhlak Islam yang mesti diamalkan dalam semua aspek kehidupan.
Ketor weh jadi hakim
Muhammad Hanif Jamaluddin
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor