Shah Alam, Selangor | 8 September 2020
Program Shah Alam Sejahtera PAS Kawasan Shah Alam (PKSA) secara mingguan diteruskan lagi petang ini. Kali ini program tersebut diadakan di Seksyen U9 dan Seksyen U10 yang menyaksikan kehadiran ramai penduduk akar umbi yang tidak disangka termasuklah dalam kalangan masyarakat bukan Islam.
Program tersebut diisi dengan majlis penyampaian kit barangan dapur kepada 50 penerima sumbangan yang terdiri daripada penduduk sekitar. Menurut Pengarah Program, Sdr Abu Azman Abu Bakar sebahagian penerima sumbangan adalah penduduk bukan Islam yang tinggal di Pangsapuri Sunway Sinar, Seksyen U9. Sumbangan tersebut disampaikan oleh YDP PAS Kawasan Shah Alam (PKSA), Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani yang sebelum itu turut melakukan ziarah ke empat buah rumah ahli PAS di Taman Sandaran Permai dan Alam Budiman.
Ustaz Ahmad Dusuki dalam ucapannya menerangkan konsep Islam yang mementingkan ukhuwah dan kemanusiaan tanpa mengira jantina atau bangsa seperti termaktub dalam Surah al-Hujurat, ayat 13. Beliau turut menyeru hadirin supaya menjaga hak jiran, sama ada jiran tersebut beragama Islam ataupun tidak selain bersikap saling tolong-menolong dalam hidup berkomuniti.
Program sehari suntuk itu turut diisi dengan minum petang dan dialog ahli PAS Cawangan Seksyen U10 Puncak Perdana bersama pimpinan PKSA serta diakhiri dengan kuliah Maghrib Bicara Muallim oleh al-Fadhil Ustaz. Selain itu, Ustaz Ahmad Dusuki turut melancarkan dua cawangan PAS penaja, iaitu di Seksyen U9 Sunway Kayangan dan Seksyen U10 Alam Budiman.
Untuk rekod, program tersebut adalah rutin turun padang setiap minggu oleh YDP PKSA ke akar umbi di lokaliti DUN Kota Anggerik dan DUN Batu Tiga secara bergilir-gilir. Selain saf kepimpinan PKSA, program tersebut turut dihadiri oleh kepimpinan cawangan.
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#MediaPASSelangor