Home Berita PAS Wilayah

Ulangtahun Kemerdekaan ke-63: Menghayati Erti Sebenar Kemerdekaan

899
SHARE

Segala puji bagi Allah yang telah mengekalkan nikmat kemerdekaan di tanah air kita selama 63 tahun. Sesungguhnya nikmat kemerdekaan itu amat besar nilainya, bukan hanya kemerdekaan dari penjajahan fizikal namun juga penjajahan dari aspek yang lain.

Jika kita soroti peristiwa hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, ia sebenarnya lebih daripada laungan merdeka oleh Tunku Abdul Rahman, iaitu adanya laungan azan oleh Almarhum Ustaz Hassan Azhari dan juga bacaan doa oleh Mufti Negeri Sembilan pada masa itu, Syeikh Haji Ahmad Muhammad Said.

Antara bait-bait doa yang begitu dalam maksudnya ini ialah didoakan agar pemimpin Malaysia diberikan hidayah untuk memimpin negara ini dengan agama, juga didoakan agar perpaduan di negara ini terus terpelihara serta didoakan supaya negara ini dijaga oleh Allah daripada segala musuh dan hasad dengki.

Inilah sebenarnya harapan nenek moyang pejuang kemerdekaan yang perlu kita hayati dan perjuangkan di tanah air kita sebagai tanda penzahiran rasa syukur kita dengan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini.

Bersempena tema kemerdekaan negara tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, maknakanlah tema ini dengan memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan khususnya untuk mendepani wabak COVID-19. Patuhilah SOP yang disarankan kerajaan di samping bersama memaju kestabilan politik, ekonomi dan sosial di negara yang kita cintai ini.

Akhirnya, Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) dan seluruh saf kepimpinan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-63 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan.

Siiru ‘ala barakatillah.

Islam Memimpin Perpaduan.

USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)
31 Ogos 2020 l 12 Muharram 1442H