Home Minda Presiden

Memahami Makna Haji Dan Hijrah Yang Sebenar

1440
SHARE


Minda Presiden PAS

MEMAHAMI MAKNA HAJI DAN HIJRAH YANG SEBENAR


Sempena dua peristiwa besar dalam Islam iaitu haji dan hijrah yang diambil perkataannya daripada bahasa al-Quran bagi mendapatkan maksud yang sebenar dan tepat mengikut perspektif Islam, maka suatu perkara yang perlu difahami bahawa salah satu daripada mukjizat bahasa al-Quran ialah terdapat banyak perkataan yang tidak mampu diterjemah dengan bahasa lain.

Sekalipun segala kamus bahasa digunakan, masih lagi tidak akan menepati maksud subjektif dan objektif setiap perkataan daripada bahasa al-Quran. Contohnya seperti perkataan Allah yang tidak mampu dicapai maksud sebenarnya melalui perkataan Tuhan, God, Khudaya dan lain-lain. Selain itu, perkataan jihad juga tidak mampu dicapai maksud yang tepat jika diterjemah dengan perkataan Holy War atau Wars of Religion yang wujud dalam benak orang-orang yang berkepala Barat.

Perkataan haji menghimpunkan ibadat jasad, roh, akal dan harta yang berkonsepkan aqidah tauhid. Makna sebenar haji berbeza dengan istilah pesta, demonstrasi, unjuk rasa atau sekadar melawat tempat yang dimuliakan mengikut ajaran agama bukan Islam.

Hijrah pula bukan sekadar difahami dengan berpindah jasad manusia daripada satu tempat ke tempat yang lain, tetapi sangat berkait dengan jihad bagi mempertahankan aqidah dan menegakkan Islam dalam diri serta negara yang berwawasan akhirat. Pada masa yang sama, jihad bererti tidak menyerah kalah kepada musuh demi mempertahan dan menegakkan Islam.

Begitu juga perkataan hijrah tidak boleh disamakan pengertiannya dengan pelarian dan suaka politik yang lebih bertujuan sekadar untuk menyelamatkan diri, nyawa dan harta secara umum tanpa mempedulikan soal aqidah dan negara, sehingga sanggup menyerah kalah kepada musuh dan keluar melarikan diri tidak pulang sampai meninggal dunia.

Kedua-dua makna sebenar Haji dan Hijrah ditafsirkan oleh al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah.

Allah SWT menegaskan bahawa Nabi Ibrahim AS ditugaskan supaya memulakan seruan ibadat haji, menunjukkan bahawa haji bukan tempat sembarangan untuk perhimpunan bagi penganut agama bukan Islam di tempat yang dimuliakan oleh Allah di sisi agama Islam. Allah SWT berfirman:

﴿وَإِذۡ بَوَّأۡنَا لِإِبۡرَٰهِيمَ مَكَانَ ٱلۡبَيۡتِ أَن لَّا تُشۡرِكۡ بِي شَيۡ‍ٔٗا وَطَهِّرۡ بَيۡتِيَ لِلطَّآئِفِينَ وَٱلۡقَآئِمِينَ وَٱلرُّكَّعِ ٱلسُّجُودِ٢٦ وَأَذِّن فِي ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ يَأۡتُوكَ رِجَالٗا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٖ يَأۡتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٖ٢٧ لِّيَشۡهَدُواْ مَنَٰفِعَ لَهُمۡ وَيَذۡكُرُواْ ٱسۡمَ ٱللَّهِ فِيٓ أَيَّامٖ مَّعۡلُومَٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلۡأَنۡعَٰمِۖ فَكُلُواْ مِنۡهَا وَأَطۡعِمُواْ ٱلۡبَآئِسَ ٱلۡفَقِيرَ٢٨ ثُمَّ لۡيَقۡضُواْ تَفَثَهُمۡ وَلۡيُوفُواْ نُذُورَهُمۡ وَلۡيَطَّوَّفُواْ بِٱلۡبَيۡتِ ٱلۡعَتِيقِ٢٩﴾

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang ruku’ serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).” (26); “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” (27); “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka (dunia dan akhirat, beribadat, bertemu dan berniaga) serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (28); “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu. (29).” (Surah al-Hajj: 26-29)

Nabi Ibrahim AS yang merasmikan ibadat haji ialah seorang Nabi yang disanjung dan dimuliakan oleh penganut semua agama. Namun ajaran tauhid yang menjadi perjuangannya telah diselewengkan. Tempat tinggal Baginda AS di Makkah merupakan lokasi pertemuan bagi kegiatan politik, ekonomi dan sosial masyarakat manusia dari seluruh pelosok alam dunia, menemukan Timur dan Barat, agama samawi dan tidak samawi.

Firman Allah SWT:

﴿لِإِيلَٰفِ قُرَيۡشٍ١ إِۦلَٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ٢ فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَٰذَا ٱلۡبَيۡتِ٣ ٱلَّذِيٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٖ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۢ٤﴾

“Kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah). (1); (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke Negeri Yaman), dan pada musim panas (ke Negeri Syam). (2); Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini. (3); Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. (4).” (Surah Quraisy: 1-4)

Pedagang dan perantau Timur dan Barat yang menjalankan aktiviti ekonomi, mengurus tadbir politik dan masyarakat majmuk sedunia berpusat di Makkah yang dibina Kaabah sebagai lambang agama tauhid, dan dijadikan tempat berlangsungnya ibadat haji.

Adapun kepada umat Nabi Muhammad SAW, Rasul kepada seluruh manusia di akhir zaman, Allah SWT berfirman secara khusus:

﴿إِنَّ أَوَّلَ بَيۡتٖ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكٗا وَهُدٗى لِّلۡعَٰلَمِينَ٩٦ فِيهِ ءَايَٰتُۢ بَيِّنَٰتٞ مَّقَامُ إِبۡرَٰهِيمَۖ وَمَن دَخَلَهُۥ كَانَ ءَامِنٗاۗ وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلۡبَيۡتِ مَنِ ٱسۡتَطَاعَ إِلَيۡهِ سَبِيلٗاۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ ٱلۡعَٰلَمِينَ٩٧﴾

“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. (96); Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. (97).” (Surah Ali ‘Imran: 96-97)

Seruan ibadat haji disahut oleh umat manusia sejak pertama kali sampai kepada Nabi Ibrahim AS sehingga hari ini. Seruan haji pada awalnya juga turut disahut oleh kalangan penyembah berhala paling syirik dan jahiliyah iaitu golongan yang menentang Rasul Akhir Zaman, Nabi Muhammad SAW.

Maka ibadat haji di Makkah menjadi amalan musyrikin Arab yang dilakukan amalan syirik iaitu dosa paling besar dalam Islam. Rasulullah SAW mengambil peluang dengan kedatangan jemaah haji daripada kalangan bukan Islam ke Makkah untuk berdakwah dan mencari tempat melakukan hijrah yang memungkinkan Negara Islam bertapak.

Walaupun sudah ada para sahabat yang berhijrah ke Habsyah, apabila raja negeri itu yang adil dan bersedia memberi perlindungan kepada kalangan mustad’afin (golongan lemah kerana tiada kekuatan diri dan keluarga yang berpengaruh bagi melindungi mereka) yang dizalimi di Makkah, tetapi mereka pulang semula ke Makkah dan bergabung dengan kumpulan hijrah ke Madinah apabila penduduk di sana memeluk Islam dan berbaiah bagi menyatakan janji ketaatan, kesetiaan dan pengorbanan.

Ketika bertemu para pemimpin Arab yang datang menunaikan haji, Rasulullah SAW mencari tanah air dan kaum yang bersedia menerima Islam menjadi negara mereka.

Rasulullah SAW menolak pelawaan pemimpin Bani ‘Aamir yang meletakkan syarat diberikan jawatan besar sekiranya mereka berjaya mencapai kemenangan. Baginda SAW juga menangguhkan untuk menerima pemimpin Bani Syaiban yang mengaku bahawa Islam adalah benar tetapi tidak bersedia menghadapi musuh yang lebih besar. Mereka tidak bersedia menghadapi cabaran dari segenap penjuru dan tidak meyakini bahawa Islam boleh menang.

Maka hijrah dilakukan apabila para pemimpin ‘Aus dan Khazraj dari Madinah yang datang menunaikan haji di Makkah bersedia menjadi penganut Islam dan berbaiah (taat, setia dan sedia berkorban dengan harta dan jiwa raga) kepada Rasulullah SAW.

Maka Rasulullah SAW dan para sahabat RA melakukan hijrah ke Madinah, bukan seperti pelarian yang menagih pertolongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan mencari negara ketiga. Pertolongan yang sekadar diberikan kerakyatan dan pekerjaan kepada kalangan profesional serta menjadi tenaga kerja di negara yang tidak cukup tenaga buruh.

Oleh kerana hijrah berkonsepkan ibadat kepada Allah, maka pengesahannya menjadi suatu ibadat diwajibkan niat kerana Allah, berbeza dengan pelarian yang tidak menentukan niatnya. Sehingga hadis niat Hijrah yang ikhlas menjadi rukun dalam semua ibadat.

Maka terdapat beberapa jenis hijrah yang perlu dihuraikan. Hijrah ke Habsyah adalah bersifat pilihan antara ‘azimah dan rukhsah. ‘Azimah ialah perkara berat yang ditanggung dan mencabar serta memerlukan kecekalan bagi mempertahankan Islam sehingga mati tanpa berundur. Manakala rukhsah ialah dimudahkan berundur ke tempat yang selamat disebabkan kelemahan diri dalam menghadapi kezaliman dan menegakkan agama di tempat yang selamat.

Hijrah juga adalah langkah strategi yang berhasrat kembali semula bagi meneruskan perjuangan, bukannya terus menyerah kalah kepada musuh. Allah SWT berfirman:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا لَقِيتُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ زَحۡفٗا فَلَا تُوَلُّوهُمُ ٱلۡأَدۡبَارَ١٥ وَمَن يُوَلِّهِمۡ يَوۡمَئِذٖ دُبُرَهُۥٓ إِلَّا مُتَحَرِّفٗا لِّقِتَالٍ أَوۡ مُتَحَيِّزًا إِلَىٰ فِئَةٖ فَقَدۡ بَآءَ بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَمَأۡوَىٰهُ جَهَنَّمُۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ١٦﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka. (15); Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali. (16).” (Surah al-Anfal: 15-16)

Selain itu, terdapat hijrah yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW untuk mengubah sikap diri yang sesat dan berdosa kepada beriman dan berakhlak yang mulia. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الْمُهَاجِرَ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ.

“Orang yang berhijrah itu ialah sesiapa yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (Riwayat al-Bukhari 10, Muslim 40, Ahmad 6912)

Seterusnya Allah SWT berfirman:

﴿فَإِذَا قَضَيۡتُم مَّنَٰسِكَكُمۡ فَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَذِكۡرِكُمۡ ءَابَآءَكُمۡ أَوۡ أَشَدَّ ذِكۡرٗاۗ فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنۡ خَلَٰقٖ٢٠٠ وَمِنۡهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ٢٠١ أُوْلَٰٓئِكَ لَهُمۡ نَصِيبٞ مِّمَّا كَسَبُواْۚ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ٢٠٢﴾

“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tiada baginya sedikit pun kebaikan di akhirat. (200); Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.” (201); Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya. (202).” (Surah al-Baqarah: 200-202)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 18 Zulhijjah 1441 / 8 Ogos 2020