Oleh: Muhammad Hadi
ARAU: Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Guar Sanji dengan kerjasama Alternative Cycling Club (ACC) Arau akan menganjurkan program Kayuhan Kembara Merdeka pada 23 Ogos nanti.
Menurut Ahli Dewan Undangan Guar Sanji Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim, program berkenaan diadakan bertujuan mengajak masyarakat khasnya golongan muda untuk menghayati serta mensyukuri nikmat kemerdekaan yang sedang dikecapi.
“Generasi muda khususnya perlu sentiasa diingatkan agar tidak lupa bagaimana perit dan getirnya perjuangan generasi terdahulu untuk mendapatkan kemerdekaan tanah air yang kita cintai ini.
“Hanya dengan pemahaman serta penghayatan terhadap erti kemerdekaan, kitaa akan dapat melahirkan masyarakat yang cintakan negara serta mempunyai jati diri yang tinggi yang sanggup berkorban demi mempertahankan negara,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.
Program berkenaan ujarnya akan bermula pada jam 7.00 pagi dan para peserta dikehendaki berkumpul di Markas PAS Semut Gatal.
Tambah beliau, 50 orang peserta terawal yang mendaftar akan menerima cenderahati berupa sehelai T-shirt manakala tarikh tutup penyertaan adalah pada 9 Ogos 2020.
“Seluruh rakyat di negeri ini yang berminat menyertai Kayuhan Kembara Merdeka bolehlah menghubungi wakil PKWR Guar Sanji di talian 017-419 3792 (Zarul) atau 013-497 3884 (Shahir).