Home Berita PAS Selangor

Khabar PAS Kawasan Dari Selangor – Kolumnis Haraki YDP PAS Puchong : Beradab Dengan Rasulullah SAW

520
SHARE

▪️Kedudukan Rasulullah SAW Bukan Setaraf Manusia Biasa

Rasulullah SAW adalah pilihan dari Allah SWT. Sekalipun Rasulullah SAW dan para rasul yang lain dipilih kalangan manusia namun ia tidak boleh disamakan kedudukan Rasul seperti manusia biasa dari sudut penghormatan, kemuliaan dan juga Rasul adalah maksum.

Allah melarang para sahabat serta umum umat Islam menjadikan panggilan terhadap Rasulullah SAW sebagaimana panggilan sesama mereka. Ini kerana adab terhadap Rasulullah SAW mesti dimuliakan dan ditinggikan.

Firman Allah SWT :

لَّا تَجۡعَلُوا۟ دُعَاۤءَ ٱلرَّسُولِ بَیۡنَكُمۡ كَدُعَاۤءِ بَعۡضِكُم بَعۡضࣰاۚ

Maksudnya :
Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu; – [Surah An-Nur 63]

Jika panggilan biasa terhadap Rasulullah SAW bertujuan demi menghina dan merendahkan kemuliaan Rasulullah SAW maka hukumnya jatuh kepada haram. Ini kerana, apa sahaja yang menyakiti Rasulullah SAW termasuk menghina Baginda SAW adalah perbuatan yang diharamkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT :

إِنَّ ٱلَّذِینَ یُؤۡذُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمۡ عَذَابࣰا مُّهِینࣰا

Maksudnya :
Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang menyakiti Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina. – [Surah Al-Ahzab 57]

▪️Wajib Beriman, Ikut, Sayang, Kasih Dan Mempertahankan Rasulullah SAW Lebih Dari Sekalian Manusia

Adab kepada Rasulullah SAW tidak sekadar hanya ingat dan menyebut-nyebut malah tuntutan ke atas umat ialah :

  1. Beriman
  2. Taat Patuh dan ikut
  3. Kasih Sayang
  4. Mempertahankan

Kesemuanya ini terdapat dalik yang jelas yang tidak boleh dinafikan dan tidak mungkin disembunyikan lagi kebenarannya. Maka adalah tidak beradab jika tiada keempat-empat perkara di atas atau salah satu darinya sekalipun.

Antara dalil-dalil perkara di atas ialah :

  1. Wajib beriman, taat dan tidak menyanggahi Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT :

مَّن یُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدۡ أَطَاعَ ٱللَّهَۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَاۤ أَرۡسَلۡنَـٰكَ عَلَیۡهِمۡ حَفِیظࣰا

Maksudnya :
Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan). – [Surah An-Nisa’ 80]

  1. Rasulullah SAW diikuti bukan hanya sekadar ikon pada sudut disukai tetapi berkaitan pada keimanan sekalipun nafsu tidak suka.

Firman Allah SWT :

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِی رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةࣱ لِّمَن كَانَ یَرۡجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلۡیَوۡمَ ٱلۡـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِیرࣰا

Maksudnya:
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) – [Surah Al-Ahzab 21]

  1. Kasih sayang dan cintai Rasulullah melebihi segala manusia lain sekalipun diri sendiri.

Anas meriwayatkab bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda :

لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من ولده ووالده والناس أجمعين

Maksudnya :
Tidak beriman salah seorang di antara kalian, hingga menjadikan aku lebih dicintai melebihi kecintaannya kepada anaknya, bapaknya dan seluruh manusia. – riwayat al-Bukhari dan Muslim

  1. Mempertahankan dan melindungi Rasulullah SAW adalah keutamaan wajib yang tidak boleh ditandingi mana-mana keutamaan yang lain sehingga para sahabat sanggup bekorban nyawa demi melindungi Baginda SAW.

Sebagaimana telada dari Sayiduna Abu Bakr ketika menemani Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah ketika mana bersembunyi dalam gua Thur. Beliau masuk terlebih dahulu bagi memastikan keadaan dalam gua selamat untuk diduduki untuk nersembunyi. Malahan kebimbangan beliau andai musuh musyrikin Mekah menjumpai mereka bukan bimbang akan nyawanya namun bimbang akan nyawa dan keselamatan Baginda SAW itu. Walau oun begitu, Rasulullah SAW menenangkan beliau bahawa mereka tidak hanya berdua namun Allah “bersama” dengan mereka.

يقول أبو بكر رضي الله عنه: لو أن أحدهم نظر إلى قدميه لأبصرنا تحت قدميه . فقال له النبي صلى الله عليه وسلم : ( يا أبا بكر ما ظنك باثنين الله ثالثهما ) رواه البخاري و مسلم .

▪️ Jika Bising Di Hadapan Rasulullah Pun Ditegur Oleh Allah

Betapa penting dan besarnya adab terhadap Rasulullah SAW sehingga mereka yang tidak beradap boleh menyebabkan amal terhapus pahalanya. Malah teladan menerusi sahabat, bagaimana Allah menegur agar mereka tidak meninggi suara lebih dari suara Baginda SAW. Nah, begitu besarnya adab terhadap Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَرۡفَعُوۤا۟ أَصۡوَ ٰ⁠تَكُمۡ فَوۡقَ صَوۡتِ ٱلنَّبِیِّ وَلَا تَجۡهَرُوا۟ لَهُۥ بِٱلۡقَوۡلِ كَجَهۡرِ بَعۡضِكُمۡ لِبَعۡضٍ أَن تَحۡبَطَ أَعۡمَـٰلُكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تَشۡعُرُونَ

Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.
[Surah Al-Hujurat 2]

Sehingga Allah menyelar dan mengatakan orang yang memekik memanggil Rasulullah SAW secara gopoh untuk Baginda SAW keluar secara terpaksa dan tergesa adalah kalangan mereka yang tidak beradap.

Firman Allah SWT :

(إِنَّ ٱلَّذِینَ یُنَادُونَكَ مِن وَرَاۤءِ ٱلۡحُجُرَ ٰ⁠تِ أَكۡثَرُهُمۡ لَا یَعۡقِلُونَ)

Maksudnya :
Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib). – [Surah Al-Hujurat 4]

▪️Ingin Melihat Rasulullah Tersakiti Duri Pun Tidak Layak

Antara pengajaran dalam peristiwa sedih umat Islam ialah peristiwa ar-Raji’ (الرجيع) yang menyebabkan para sahabat dibunih ekoran penipuan jahat pihak musuh antaranya Zaid bin Dathina.

Ucapan Zaid cukup hebat dan menggambarkan betapa hebatnya adab terhadap Rasulullah SAW sekalipun berjauhan. Ketika Zaid hendak dibunuh, lalu tampillah Abu Sufyan (belum Islam) berkata kepadanya :

أنشدك الله يا زيد! أتحب أن محمدًا عندنا الآن في مكانك نضرب عنقه، وأنك في أهلك؟!

Maksudnya :
“Wahai Zaid, apakah engkau ingin Muhammad berada di posisimu sekarang untuk dipenggal lehernya sedangkan engkau bersama dengan keluargamu?”

والله ما أحب أن محمدًا الآن في مكانه الذي هو فيه تصيبه شوكة تؤذيه، وأني جالس في أهلي

Maksudnya :
Zaid berkata, “Demi Allah, aku tidak ingin Rasulullah sekarang berada di tempatnya dalam kondisi ia terkena duri sedangkan aku bersantai-santai di rumah bersama keluargaku.”

ما رأيت من الناس أحدًا يحب أحدًا كحب أصحاب محمد محمدًا!

Maksudnya :
Abu Sufyan berkata, “Aku belum pernah melihat ada seseorang yang mencintai orang lain seperti cintanya para sahabat Muhammad terhadap Muhammad.”

▪️Awas! Apa Sahaja Rekaan Dan Tidak Layak Bagi Rasulullah SAW Jangan Disandar Pada Baginda SAW

Beradab dan menghormat Rasulullah SAW bukan setakat pada soal akhlak yang cantik sahaja tetapi jika melampaui batasan ia melibatkan dosa dan hukumannya neraka. Ini jelas apabila ada hadith yang menegah apa sahaja rekaan atas Baginda SAW. Tidak boleh sandar apa yang bukan datang dari Baginda SAW. Begitu juga tidak boleh sandar apa sahaja yang tidak layak pada diri Baginda SAW.

Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya:
“Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” – riwayat al-Bukhari

Disebabkan itu antara hikmah pengharaman melukis wajah Rasulullah SAW adalah sebagai sad zariyah, iaitu pencegahan kepada beberapa aspek :

  1. Memelihara ketulenan aqidah agar tidak dimanipulasi sebagaimana ajaran lain.
  2. Memelihara kehormatan Rasulullah kerana lukisan pastinya membawa kepada kekurangan, aib malah boleh jadi pembohongan.

Justeru, usahlah hendak mempertahankan kononnya istilah “pelarian” itu sesuai dengan hijrah Rasul kerana jelas beza definisi, matlamat dan objektif antara pelarian dan Hijrah Rasul. Ini kerana adab kita dengan Rasulullah SAW yang wajib dipelihara. Jangan sampai isu berpolitik sehingga melupakan batasan syariat dan adab kita terhadap Rasulullah SAW!

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

15 Zulhijjah 1441H | 5 Ogos 2020

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan