Dalam 3 siri sebelum ini saya telah mengulas mengenai penjualan 14 anak syarikat THP yang memiliki ladang seluas 76,975 hektar (190,128 ekar) yang mewakili 76% daripada keseluruhan ladang-ladang THP seluas 110,000 hektar (271,700 ekar). Saya juga telah mengulas secara khusus 2 anak syarikat THP yang memiliki ladang seluas 6,513.8 hektar (16,090 ekar) yang dijual kepada TAMACO pada harga yang amat rendah. Saya juga telah menjelaskan kaedah perbandingan dan kaedah menentukan kos untuk ladang-ladang berkenaan yang saya yakin boleh membantu pembaca membuat penilaian sendiri terhadap tindakan Dr. Mujahid menjual ladang-ladang berkenaan.
Kali ini saya cuba untuk mengulas satu lagi harta TH iaitu hotel milik THHR (Tabung Haji Hotel and Recreation) yang telah “dipindahkan” ke UJSB iaitu syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan dan berapa nilai perpindahan tersebut. Sehingga hari ini tiada pengesahan, sama ada dari UJSB atau Dr. Mujahid sendiri atau dari pejabat Menteri di JPM, mengenai transaksi berkenaan.
Adalah teramat sukar bagi saya untuk mengulas “perpindahan” atau “penjualan” hotel-hotel ini yang masih mencatat keuntungan dalam tempoh 5 tahun kebelakang kerana tiada maklumat tepat dari Dr. Mujahid, UJSB atau pejabat Menteri di JPM.
Menurut sumber yang rapat dengan Menteri di JPM (waktu itu) pemindahan dan penjulan aset-aset milik anak syarikat TH dan TH sendiri adalah langkah rasionalisasi untuk menyelamatkan THHR yang menanggung beban hutang dan TH yang mengalami “kerugian sejak 7 tahun lalu” seperti yang disiarkan oleh Malaysiadateline pada 18 Februari 2020. Malaysiadateline memetik sumber dari “pegawai yang dekat dengan Tabung Haji yang memahami isu ini…” Pegawai berkenaan adalah pegawai kepada Menteri di JPM yang juga menyebut mengenai suntikan dana berjumlah RM17.8 billion ke dalam TH untuk tempoh 10 tahun bermula dari tahun 2020 hingga 2030.
Berdasarkan berita yang tersiar di Dateline itu antara kriteria yang diambil kira dalam penjualan aset ini adalah aset-aset berkenaan mengalami kerugian berterusan, aset-aset pelaburan yang kurang berdaya saing dan mengalami kejatuhan nilai melebihi 20% dari nilai buku; dan aset-aset yang memberi pulangan yang rendah, kurang dari 2% setahun.
Namun semakan di SSM menunjukkan kesemua hotel yang dipindahkan itu telah mencatat keuntungan. Hotel-hotel berkenaan terletak di Alor Setar, Pulau Pinang, Kuala Terengganu dan Kota Kinabalu. Kesemuanya terletak dilokasi berhampiran lapangan terbang dan di kawasan yang tinggi nilainya. Aset-aset ini mengalami kejatuhan nilai? Ini yang perlu dibuktikan oleh Dr. Mujahid.
Semakan yang saya buat menunjukkan sebaliknya. Negara PropertyGuru Malaysia, dalam analisisnya menyatakan bahawa hartanah yang menjadi buruan pembeli di Pulau Pinang ialah di kawasan Georgetown, Bayan Lepas dan Tanjung Tokong kerana mudah ke pusat bandar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Nilai haratanah di Pulau Pinang meningkat 25% antara 2007 hingga 2012 dan hanya menyusut 0.13% sejak 2 tahun lepas. Saya sedang berusaha mendapatkan trend peningkatan/penurunan nilai hartanah di 3 lokasi lain. Mungkin ada netizen di luar yang boleh membantu.
Semakan Penyata Kewangan TH pula menunjukkan bahawa TH sentiasa mendapat keuntungan dari tahun ke tahun. Saya paparkan di sini petikan laporan Kewangan TH sehingga 2016 yang telah di audit untuk bacaan dan penilaian pembaca. Sekiranya Laporan Kewangan ini tidak disediakan menurut prinsip perakaunan yang betul dan berlaku ketidaktelusan di dalam penyediaannya, maka sewajarnya dalam tempoh 22 bulan PH memerintah ada pegawai TH yang dihadapkan ke mahkamah. Namun ia tidak berlaku.
Jika Dr. Mujahid benar-benar memahami kedudukan kewangan TH dan anak-anak syarikatnya, kemudian mendapatkan nasihat yang betul serta pandangan dari pihak ketiga yang tiada kepentingan tentunya kemelut TH ini boleh dielakkan.
Sekian.
Prof. Madya Dr. Mohd Fuad Mohd Salleh
Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Negeri Selangor
8 Zulhijjah 1441H | 29 Julai 2020
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan