Home Berita PAS Selangor

Ruangan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Selangor | Prof. Madya Dr. Mohd Fuad Mohd Salleh – Kemelut TH : Kenapa Terjadi? (Siri 3)

982
SHARE

السلام عليكم
Semalam saya komen mengenai harga jualan ladang THP yang telah digadai oleh Dr. Mujahid dengan harga yang terlampau rendah dengan membuat perbandingan harga ladang-ladang kelapa sawit di Sarawak. Satu kaedah paling mudah membuat perbandingan harga.

Ada satu lagi kaedah penentuan (bukan perbandingan) harga atau nilai sesuatu tanah jika perbandingan tidak boleh dilakukan kerana ketiadaan tanah yang hampir sama dikawasan berhampiran yang telah atau sedang ditawarkan untuk dijual. Kaedah ini ialah dengan mengira kos tanah dan kos pembangunan tanah. Ini untuk menentukan harga lantai (harga/nilai paling minimum) tanah sebelum ia dijual.

Kos pembangunan tanah yang merangkumi kerja penyediaan tanah (tebang-tebas, perparitan, penyediaan lubang, benih, jalan dsb) adalah antara RM5,000 – RM5,500 seekar (12,350 – RM13,585 sehektar) bagi kebun bersaiz kecil di bawah 100 ekar. Untuk kos pembangunan ladang ialah antara RM3,900 – RM4,200 seekar (RM9,633 – RM10,374 sehektar.) Tambahan sebanyak antara 40% – 45% diperlukan jika kawasan berbukit dan memerlukan teres. Jika tanah gambut pula sekitar 10% – 15% tambahan diperlukan. Ini ialah kos pembangunan tanah.

Untuk mendapat nilai tanah perlu ditambah harga tanah kosong belukar (sekitar RM2,500?) Ini menjadikan jumlah kesemuanya RM12,133 (harga paling rendah.) Saya nyatakan pengiraan ini untuk membolehkan pembaca membuat penilaian sendiri sebelum memberi komen mengenai harga jualan ladang THP agar ia lebih adil kepada semua pihak terutama yang teruk dikecam sekarang ini.

Harga yang ditawarkan kepada pembeli bukan Muslim (TAMACO) ialah RM26,098/ha (RM10,566 seekar.) Jika dibandingkan dengan nilai tanah yang telah dibangunkan iaitu RM12,133, menunjukkan setiap ekar ladang yang digadaikan, THP mengalami kerugian sebanyak RM1,567. Saya yakin ladang THP ini lebih tinggi kos pembangunannya dan kos sebenar hanya boleh didapati dengan melihat rekod kewangan ladang berkenaan. (Audit Pengurusan boleh disarankan untuk melakukan siasatan begini.)

Jika kos tertinggi digunakan maka kos tanah ialah RM12,874. Ini bermakna setiap ekar yang dijual maka THP menanggung kerugian sebanyak RM2,308. Adakah ia harga yang menasabah? Sekali lagi saya ingin bertanya apa asas harga yang Dr. Mujahid guna untuk menjual ladang THP pada harga begitu rendah?

Jika Dr. Mujahid mengetahui kaedah penentuan harga, yang pada saya amat mudah, kerana beliau boleh mengarahkan salah seorang pegawai di Pejabat Menteri untuk membuat penyelidikan mengenai harga lantai dan harga siling sebelum memutuskan untuk menjual ladang berkenaan. Dr. Mujahid juga boleh meminta Menteri Pertanian atau Menteri Perladangan waktu itu untuk membantunya, kan masing-masing adalah menteri yang memegang kuasa. Tetapi kenapa ia tidak dilakukan. Dr. Mujahid perlu menjawab dan menjelaskan kenapa harga yang ditawarkan kepada TAMACO terlalu rendah, lebih rendah dari nilai pembangunan tanah.

Jika Dr. Mujahid mengetahui kaedah menentukan nilai tanah, kemelut THP dan TH tentunya boleh dielakkan.

والسلام عليكم

Prof. Madya Dr. Mohd Fuad Mohd Salleh
Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Negeri Selangor

8 Zulhijjah 1441H | 29 Julai 2020

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan