Home Berita PAS Sabah

Pemuda PAS perlu fokus gerak kerja menaikkan kredibiliti Islam

753
SHARE

Oleh : Muhammad Salman Darwis
27 Julai 2020

SANDAKAN : Pemuda PAS perlu tampil dengan kualiti kerja cemerlang dengan memberi fokus terhadap peningkatan kredibiliti Islam di mata masyarakat khususnya bukan Islam.

Sehubungan itu, Pemuda PAS seharusnya menterjemahkan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS dalam kalangan rakyat Malaysia disamping melengkapkan diri dengan ilmu pentadbiran negara.

Demikian ulas Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Sandakan, Ramlan Rahimen ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan semalam di Pejabat Urusan PAS Kawasan Sandakan, dekat sini.

“Perjuangan kita (PAS) masih jauh, bukan sekadar menjadi pemerintah negara atau negeri, malah lebih jauh daripada itu, matlamat kita adalah akhirat, diredhai oleh Allah SWT,” ujarnya lagi dalam MAT kali ke 18 itu.

Selain itu, Ketua Pemuda PAS Sandakan, Mohd Ramlan Pandi ketika menyampaikan ucaptama mengingatkan kepada para perwakilan tentang cabaran yang dihadapi oleh Pemuda PAS dalam suasana sekarang.

“Sahabat-sahabat pemuda sekalian, tahun demi tahun, hari demi hari, cabaran berbeza dihadapi, tentangan kiri kanan atas bawah dari segenap arah dan penjuru kepada pemuda,” ujarnya.

“Justeru matlamat kita perlu jelas, matlamat kita bukan kemegahan dan pangkat, kemewahan harta mahupun dikejar wanita tetapi pemuda ini matlamatnya satu iaitu hidup mulia dengan agama atau mati syahid di jalan agama,” jelas Mohd Ramlan.

Mesyuarat Agung Tahunan yang berakhir pada jam 2.00 petang itu telah dihadiri oleh exco, perwakilan dan pemerhati dari seluruh daerah Sandakan dalam keadaan pematuhan SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa.