Keabsahan Kerajaan Perikatan Nasional di Putrajaya sudah tidak boleh dipertikaikan lagi. Kejayaan melantik Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat tempohari dengan 111 undi menyokong dan 109 menolak, bermakna PN sah mempunyai kerusi yang lebih dari pembangkang dan dengan itu layak memerintah sebagai kerajaan.
Ikut rekod PN sesungguhnya mempunyai 113 kerusi kerana semasa mengundi, ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon mempengerusikan mesyuarat manakala ahli Parlimen Kota Marudu Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri Pusat sedang cuti sakit.
RIngkasnya dengan majoriti 4 kerusi PN dikira stabil dan selesa lalu segala isu undi tidak percaya dan usaha kononnya melantik PM baru dari blok PH hanyalah desas-desus kosong yang tiada asas.
Sebenarnya yang goyang dan diragui hari ini bukannya kerajaan Pusat tetapi kerajaan Selangor.
Dari 6 wakil pembangkang di DUN iaitu 5 Umno-BN dan 1 PAS kini sudah naik 15 apabila wakil Bersatu bersama dalam blok pembangkang.
Tidak cukup itu beberapa lagi ADUN PKR yang pro Datuk Seri Azmin Ali juga dikhabarkan akan menyeberang ke PN. Terbaru wakil-wakil PAN pun difahami telah bosan dengan pimpinan parti mereka dan berhajat menyeberang.
Di Sabak Bernam umpamanya Pemuda Pan kawasan telah mengeluarkan kenyataan memutus segala hubungan dengan ADUN PAN Sabak yang khabarnya sudah mula menyerang partinya sendiri dan bakal melompat.
Semua perkembangan ini meletakkan kerajaan PH Selangor dalam kedudukan yang boleh diragui.
Adakah MB Selangor masih memiliki sokongan majoriti ahli-ahli Dewan setelah ramai meninggalkan bloknya selain ramai lagi yang berhasrat mahu melakukan perkara sama? Undi tidak percaya yang mahu dibawa PH terhadap PM sepatutnya digantikan dengan undi tak percaya terhadap MB di Selangor.
Mungkinkah Selangor pula akan tumbang selepas ini?
Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
5 Zulhijjah 1441H | 26 Julai 2020
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan