Oleh : Asiah Muhammad
22 Julai 2020
BATU SAPI : PAS Batu Sapi telah mengadakan majlis ramah-tamah bersama 16 Ketua Cawangan dalam parlimen ini, di Pejabat PAS Batu Sapi, Taman Mawar ahad lalu.
Tujuan utama majlis ini dilaksanakan adalah untuk memberi pendedahan awal berkenaan PAS kepada ketua cawangan yang baharu disamping beramah mesra sesama AJK PAS Batu Sapi dan Ketua-ketua Cawangan.
Majlis ini telah dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid, Ketua Muslimat Negeri Sabah, Norsah Bongsu, Yang Dipertua PAS Batu Sapi, Ahmad Naufal dan Ketua Pemuda PAS Batu Sapi, Masru Mustaqeem.
Berucap dalam majlis berkenaan, Sahar menekankan bahawa perjuangan PAS berbeza dengan parti politik yang lain kerana asasnya juga berbeza.
“Perjuangan PAS ini berteraskan Al-Qur’an dan As-Sunnah, ahli yang bergerak kerja dalam PAS ini perlukan keikhlasan dan banyak berkorban dari sudut tenaga, wang dan masa,” jelasnya.
Selain itu, Ketua-ketua cawangan turut berkongsi tentang isu-isu setempat yang berlaku di Batu Sapi dan ia mendapat respon balas yang baik daripada pimpinan PAS yang hadir.
Majlis yang berakhir tengah hari itu turut diserikan dengan persembahan video tayangan montaj aktiviti PAS di Batu Sapi disamping diakhiri dengan jamuan ringan.