Home Berita PAS Selangor

Nadi Selangor by Roslan SMS – Selangor Perlu Tegas Tangani COVID-19

1116
SHARE

Perdana Menteri baru-baru ini menasihatkan warga Malaysia agar mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan kerajaan demi memastikan pandemik COVID-19 yang setakat hari ini mencatatkan 8815 kes dengan 123 kematian seluruh negara dapat dikawal dan ditangani sebaiknya.

Rakyat Malaysia perlu mematuhi dan mengamalkan norma baru dengan penuh berdisiplin bagi memastikan wabak ini dapat dipatahkan dan kita dapat hidup dengan selamat.

Memandangkan Selangor merupakan negeri yang memiliki kumulatif kes tertinggi dalam negara iaitu 2107 kes dengan 24 kematian maka langkah-langkah pencegahan dan pengawalan perlulah lebih ketat dan diberi perhatian.

Tiga daerah yang mencatatkan angka kumulatif tertinggi adalah Hulu Langat 631, Petaling 437 dan Gombak 262. Sewajarnya usaha dan kerja keras kerajaan Persekutuan dalam memerangi pandemik ini turut digalas bersama kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan serius.

Kita dapati di sebahagian lokasi pematuhan SOP semakin “relaxed” ataupun bersahaja kebelakangan ini khasnya di Lembah Kelang, pemakaian penutup hidung dan mulut atau “mask” di tempat-tempat awam tidak diberi perhatian. Restoran dan kedai-kedai termasuklah rumah-rumah ibadat semakin longgar dalam pematuhan SOP walaupun kita akui buku log, pencuci nyahkuman dan alat pengesan suhu memang disediakan tetapi kadangkala pengunjung ambil lewa dan pihak pemilik premis pula tidak tegas.

Mungkin apabila kadar kes seluruh negara mula menurun, ramai yang menganggap kita telah selamat sedangkan hakikatnya jika kita tidak berhati-hati tidak mustahil angka yang sedia ada boleh memuncak kembali sebagaimana di negara-negara lain. Justeru kerajaan negeri dan PBT mesti beri perhatian.

Kita tidak mahu lantaran kealpaan dan keculasan penguatkuasaan kita maka kita mendedahkan rakyat khasnya anak-anak kita kepada ancaman, tambahan tadika dan sekolah-sekolah telah mula beroperasi.

Memandangkan Lembah Klang mencatatkan angka kes yang tinggi sebelum ini, maka penguatkuasaan mestilah sentiasa ketat dan berterusan, ianya bukan tanggungjawab Kementerian Kesihatan semata-mata. Kerajaan negeri dengan kerjasama PBT yang masing-masing punya Jabatan Kesihatan dan Pengutakuasa masing-masing bolehlah dikerahkan untuk memantau dengan lebih kerap dan ketat premis-premis ini.
Mana yang gagal mematuhi SOP atau sambil lewa mestilah diberi amaran dan diambil tindakan demi menjamin keselamatan warga Selangor.

Rakyat Selangor sebagaimana rakyat seluruh Malaysia mahu bebas dan menang dalam peperangan menentang wabak ini, semua pihak perlu beri kerjasama dan kerajaan negeri tidak terkecuali.

Tuan Haji Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

1 Zulhijjah 1441H | 22 Julai 2020

#PASSelangor

#BersamaMembawaSejahtera

#IslamMemimpinPerpaduan