Home Berita PAS Perlis

Rakyat Perlis Digesa Kekalkan Status Zon Hijau

693
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Rakyat di negeri ini digesa agar bersama-sama membantu mengekalkan status negeri Perlis sebagai zon hijau.

Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat CPRC Kebangsaan yang bertarikh 21 April lalu menunjukkan negeri ini telah bebas dari kes aktif sepenuhnya.

Selain itu Perlis menjadi satu-satunya negeri yang masih belum mencatat sebarang kes aktif Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd. Shukri Ramli, ingatan yang diberikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya semalam seharusnya dipandang serius oleh seluruh rakyat di negeri ini.

“Kebimbangan yang disuarakan perdana menteri itu ada asasnya kerana kes jangkitan Covid-19 sudah kembali dua angka sejak beberapa hari lalu.

“Sehingga kini hanya Perlis sahaja yang mencatatkan sifar kes aktif sejak April lalu dan sudah tentulah rakyat negeri ini tidak mahu wujudnya kes atau kluster baharu di negeri ini.

“Justeru saya menyeru kepada semua, patuhilah saranan pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini,” ujarnya ketika dihubungi pagi ini.

Menurutnya lagi antara perkara yang mesti menjadi amalan adalah penjagaan jarak sosial serta pemakaian penutup mulut dan hidung di tempat awam.

Selain itu tegasnya, premis-premis kerajaan dan swasta hendaklah sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Tambahnya lagi sikap leka dan tidak acuh rakyat boleh menyebabkan negeri ini kembali mencatatkan kes jangkitan.

“PAS Perlis tetap komited dalam mengekalkan status zon hijau melalui pematuhan terhadap SOP di setiap premis dan dalam semua aktiviti parti di negeri ini,” katanya.