Home Berita PAS Perlis

Conteng Mural Tindakan Biadap – ADUN Guar Sanji

1141
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Tindakan dua individu menconteng mural potret gergasi pemimpin negara merupakan tindakan yang sangat biadap, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim.

Jelasnya perbuatan berkenaan adalah amat tidak bertanggungjawab manakala pelakunya mestilah dihadapkan segera ke muka pengadilan.

“Kita minta pihak polis supaya segera menyiasat kejadian ini supaya pelakunya dapat diheret ke mahkamah dengan segera.

“Kita tidak boleh lagi berlembut dengan tindakan-tindakan biadap seperti menghina agama, raja-raja dan para pemimpin negara kerana perkara sedemikian boleh menggugat keharmonian negara.

“Kita amat bimbang, budaya seperti ini jika tidak ditangani dengan tegas, akan menjadi barah yang semakin merebak ke dalam masyarakat,” ujarnya ketika dihubungi di sini pagi ini.

Mohd. Ridzuan yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Perlis berharap rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini dapat terus memelihara kesejahteraan dan keamanan negara yang dikecapi selama ini.

Pada masa yang sama, beliau turut meminta agar parti-parti politik supaya mengelakkan budaya politik melampau dan keterlaluan serta bersama-sama dengan kerajaan dalam membangunkan semula ekonomi negara pasca Covid-19.

“Janganlah kerana kepentingan politik, maka masa depan rakyat dan negara sanggup diperjudikan dengan tindakan-tindakan yang merugikan,” katanya.